Malaysia perlu bina keupayaan teknologi sendiri

Foto FB Gobind Singh Deo

SUBANG JAYA, 7 Mei – Malaysia perlu membina keupayaan teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap platform dan sistem asing, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedaulatan digital menuntut kawalan ke atas data, infrastruktur, platform dan sistem teknologi yang digunakan.
  • Beralih daripada destinasi pelaburan kepada pembinaan keupayaan teknologi tempatan untuk miliki kelebihan strategik.
  • Memperkukuh bakat tempatan, keselamatan data dan kerjasama kerajaan, industri serta akademia bagi ekosistem digital mampan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ‘kedaulatan’ digital tidak lagi hanya ditentukan melalui sempadan negara, sebaliknya turut melibatkan kawalan terhadap data, infrastruktur, platform serta sistem teknologi yang digunakan masyarakat.

Oleh itu, Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi destinasi pelaburan digital kepada negara yang mampu membina keupayaan teknologinya sendiri.

“Tetapi menyediakan infrastruktur hos tidak sama dengan memilikinya. Jika modal, platform dan kecerdasan dikawal dari luar, maka kelebihan strategik terletak di tempat lain.

“Di sinilah pendekatan kita perlu beralih daripada menjadi destinasi pelaburan kepada pembina keupayaan,” katanya dalam ucapan pada forum Tech Stacks & Stakes: Tech Sovereignty VS Dependency di Monash University Malaysia di sini.

Menurut beliau, perkembangan AI turut menjadikan usaha memperkukuh bakat tempatan semakin penting bagi memastikan negara bersedia menghadapi perubahan teknologi masa depan.

Kerajaan tidak boleh menolak teknologi luar sepenuhnya, namun pada masa sama perlu membangunkan kepakaran tempatan agar Malaysia mampu membina sistem dan penyelesaian teknologinya sendiri.

“Jadi di situ perlu kita memberi tumpuan kepada memastikan bahawa kita ada bakat yang mencukupi dalam negara kita supaya apabila teknologi baru ini sampai ke negara kita, kita mempunyai masyarakat yang memang bersedia untuk menggunakan teknologi,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind menegaskan aspek keselamatan data rakyat turut menjadi keutamaan kerajaan menerusi pelaksanaan undang-undang serta pemantauan oleh agensi berkaitan termasuk CyberSecurity Malaysia.

“Data itu sangat penting kepada kita. Keselamatan itu adalah keutamaan,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama antara kerajaan dengan industri dan institusi akademik perlu diperkukuh bagi memastikan Malaysia mampu membina ekosistem digital yang mampan serta berdaya saing di peringkat serantau dan global.