
PUTRAJAYA, 7 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan tindakan pembetulan dan semakan bersama pihak berkaitan, bagi menangani isu teknikal melibatkan integrasi antara sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN pada April lalu.
- KPDN akan memastikan pengemaskinian data dan penjanaan semula kuota subsidi dilaksanakan segera.
- Melibatkan pemegang fleet card yang memperbaharui LKM, mendaftar kenderaan baru atau tukar milik 1 hingga 28 April 2026.
- Sebahagian pemegang fleet card SKDS dan SKPS tidak menerima kuota subsidi bermula 1 Mei 2026.
- Pemegang terkesan diminta hantarkan nama syarikat, nombor SSM, nombor pendaftaran, tarikh cukai jalan melalui borang sebelum 5 petang, 8 Mei.
Dalam satu kenyataan, KPDN memaklumkan, pihaknya akan memastikan pengemaskinian data serta penjanaan semula kuota dapat dilaksanakan dengan segera
“Ia melibatkan pemegang fleet card yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), mendaftarkan kenderaan baharu atau melakukan pertukaran milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April 2026,” katanya.
Isu tersebut menyebabkan sebahagian pemegang fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) tidak menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei 2026.
Bagi mempercepatkan proses semakan dan pengemaskinian, pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan diminta mengemukakan nama syarikat, nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), nombor pendaftaran kenderaan serta tarikh memperbaharui cukai jalan, dan pendaftaran kenderaan baharu atau pertukaran milik.
Maklumat berkenaan boleh dikemukakan menerusi pautan berikut https://forms.gle/hQy1ZQZ2NZoBFJgeA yang disediakan KPDN sebelum 5.00 petang, 8 Mei ini.