Perkukuh sistem waktu bekerja PPS, KKM akan keluar garis panduan baharu

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan satu garis panduan baharu bagi memperkukuh sistem waktu bekerja fleksibel Pegawai Perubatan Siswazah (PPS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Pengarah Kesihatan akan mengeluarkan pekeliling dan garis panduan baharu bagi memperkukuh waktu bekerja PPS.
  • PPS tertakluk kepada garis fleksi sedia ada yang menetapkan lingkungan 65 hingga 80 jam kerja seminggu.
  • MMI mendakwa PPS bekerja 65 hingga 85 jam seminggu; kekurangan kakitangan membimbangkan kualiti perkhidmatan dan keselamatan pesakit.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu tertakluk kepada pelaksanaan di lapangan supaya selaras dengan garis panduan asal sistem fleksi (Sistem Waktu Kerja Fleksi).

“Ketua Pengarah Kesihatan akan mengeluarkan pekeliling dan garis panduan baharu untuk memperkukuhkan hal berkaitan waktu bekerja. Andai ada apa-apa, kita akan kembali kepada peraturan yang telah ditetapkan,”katanya.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly menjelaskan bahawa PPS tertakluk kepada garis panduan waktu bekerja sedia ada di bawah sistem fleksi yang menetapkan lingkungan 65 hingga 80 jam seminggu.

“Isu pelaksanaan di lapangan ini sedang diperbaiki dari segi tadbir urus bagi memastikan waktu bekerja mereka mematuhi piawaian yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran CRM Trial Connect 2026 di ibu negara.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan PPS di negara ini bekerja sehingga 10 hingga 15 jam lebih masa tanpa bayaran seperti yang dibangkitkan Malaysian Medics International (MMI), sebelum ini.

Menurut MMI, PPS didakwa terpaksa bekerja antara 65 hingga 85 jam seminggu sehingga mencetuskan isu kepenatan melampau.

Dilaporkan bahawa mereka bekerja melebihi had masa yang sepatutnya berikutan kekurangan kakitangan di sesetengah hospital kerajaan, yang dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, prinsip asal bahawa PPS berada di hospital untuk latihan, perlu dikembalikan.

“Mereka bukanlah ‘extra pair of hands’ semata-mata, tetapi mereka berada di sana untuk latihan. Isu pelaksanaan di lapangan sedang diperbaiki dari segi tadbir urus bagi memastikan waktu bekerja mereka mematuhi piawaian,” ujarnya pada majlis sama.