
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Ikon Keselamatan Jalan Raya, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyokong tindakan tegas termasuk hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, susulan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan golongan itu sejak kebelakangan ini.
- Undang-undang sedia ada perlu diperketat untuk meningkatkan kesedaran dan menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
- Kerajaan mesti ambil langkah serius memastikan individu di bawah pengaruh alkohol tidak dibenarkan memandu.
- Siti Nurhaliza dilantik Ikon Keselamatan Jalan Raya dan terus mempromosi advokasi keselamatan dalam masyarakat.
Menurut beliau, undang-undang sedia ada juga wajar diperketatkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat selain menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Kerajaan perlu mengambil langkah lebih serius bagi membendung isu tersebut termasuk memastikan individu yang berada di bawah pengaruh minuman keras tidak dibenarkan memandu.
“Kalau hukuman yang berat itu, saya rasa memang perlulah seberat-beratnya sebab ia melibatkan nyawa,” katanya ketika ditemui di konti stesen radio Nasionalfm, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, pemanduan dalam keadaan mabuk bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh meragut nyawa individu tidak bersalah.
Biduanita Negara itu baru-baru ini dilantik sebagai Ikon Keselamatan Jalan Raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selaras usaha memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengesahkan konsert tradisional yang dinantikan peminat akan berlangsung tahun ini.
Katanya, persiapan sedang giat dilakukan disamping komitmen mempromosikan album tradisional terbaharunya berjudul Gema Bumantara.