Permit petrol bersubsidi nelayan dipermudah, kerjasama LKIM-KPDN perangi ketirisan subsidi

Foto Hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyambut baik maklum balas positif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung mekanisme penyaluran petrol bersubsidi kepada nelayan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nelayan berdaftar boleh membeli petrol bersubsidi melebihi 20 liter tanpa permit khas, tertakluk kuota 50 liter sehari.
  • Integrasi data Aplikasi MyMinyak ke Sistem Permit Bekalan bagi pemantauan lebih telus dan mengurangkan ketirisan subsidi.
  • LKIM kukuhkan kerjasama dengan KPDN dan agensi penguatkuasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan bahan api bersubsidi.
  • Subsidi dijangka menjaga kebajikan nelayan, memperkukuh sektor perikanan secara mampan, dan menyokong keterjaminan makanan negara.

LKIM dalam satu kenyataan memaklumkan, peraturan permit khas bagi pembelian petrol bersubsidi melebihi 20 liter tidak melibatkan pembelian petrol bersubsidi nelayan kerana mekanisme penyaluran sedia ada mempunyai sistem kawal selia menerusi Aplikasi MyMinyak.

Menurut kenyataan itu, sistem berkenaan memastikan subsidi digunakan mengikut peraturan yang berkuat kuasa melalui stesen minyak yang disenaraikan oleh LKIM.

Sehubungan itu, nelayan yang berdaftar dan tersenarai boleh terus mendapatkan petrol bersubsidi melebihi 20 liter tanpa memerlukan permit khas, tertakluk kepada kuota petrol bersubsidi sebanyak 50 liter sehari.

LKIM menjelaskan, mekanisme dan manfaat subsidi tersebut selaras komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dalam memperkukuh sektor perikanan secara lebih berkesan dan mampan.

Tambah kenyataan sama, kemudahan berkenaan juga merupakan langkah proaktif bagi memastikan kebajikan komuniti nelayan terus terpelihara di samping memperkukuh kawal selia bekalan bahan api negara.

Bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan, LKIM akan memperkukuh kerjasama dengan KPDN melalui integrasi data Aplikasi MyMinyak ke dalam Sistem Permit Bekalan.

Menurut LKIM, langkah itu bertujuan memastikan penyaluran subsidi lebih telus dan berkesan dalam mengekang ketirisan.

LKIM turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak penguat kuasa KPDN dan agensi berkaitan bagi memastikan tiada penyalahgunaan bahan api bersubsidi.

Selain itu, penggunaan teknologi menerusi Aplikasi MyMinyak akan terus diperkasakan sebagai mekanisme utama bagi memantau kelayakan dan kuantiti pembelian di lapangan.

LKIM memaklumkan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi memastikan nelayan menerima manfaat subsidi yang disediakan.

Dalam masa sama, nelayan digesa meningkatkan produktiviti tangkapan ikan selaras dengan kemudahan subsidi bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negara.