
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Malaysia dan Pakistan berhasrat memperkukuh semula kerjasama dalam membanteras ancaman dadah rentas sempadan, khususnya membabitkan peningkatan penyeludupan dadah sintetik seperti syabu.
- Ancaman dadah semakin kompleks akibat rangkaian jenayah terancang transnasional yang beroperasi merentas sempadan.
- Kedudukan Pakistan berhadapan aliran dadah dari Afghanistan menjadikan kerjasama strategik penting bagi menangani laluan penyeludupan serantau.
- Negara akan menggiatkan semula kerjasama melalui perkongsian risikan aktif, operasi berasaskan risikan, latihan dan pertukaran kepakaran.
- Cadangan MoU dibincangkan untuk rangka kerja tersusun dan risikan mesti diterjemahkan kepada tindakan memutus rantaian bekalan sebelum sampai Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran Facebook menegaskan, ancaman dadah kini semakin kompleks berikutan penglibatan rangkaian jenayah terancang transnasional yang beroperasi merentas sempadan.
“Kedudukan Pakistan yang berhadapan secara langsung dengan aliran dadah dari Afghanistan menjadikan kerjasama dengan negara itu penting kepada Malaysia, terutama apabila laluan penyeludupan turut menjangkau Asia Timur dan Asia Tenggara.
“Malaysia dan Pakistan mempunyai asas kerjasama operasi yang kukuh, termasuk lebih 28 kes yang pernah diselaraskan bersama antara 2012 hingga 2018.
“Sehubungan itu, antara fokus seterusnya ialah menggiatkan semula kerjasama tersebut melalui perkongsian risikan yang lebih aktif, operasi berasaskan risikan secara terselaras, latihan serta pertukaran kepakaran antara agensi kedua-dua negara,” menurut hantaran itu.
Perkara itu dinyatakan selepas Datuk Seri Saifuddin Nasution mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Anti-Narcotics Force (ANF) Pakistan di Islamabad dan menerima taklimat daripada Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Abdul Moeed mengenai ancaman dadah semasa, laluan penyeludupan serantau serta operasi penguatkuasaan ANF.
“Malaysia dan Pakistan turut membincangkan cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama membanteras narkotik bagi menyediakan kerangka lebih tersusun untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.
“Dalam menghadapi rangkaian jenayah yang semakin canggih, kerjasama antara agensi penguatkuasaan tidak boleh sekadar berada di atas kertas,” tambah hantaran itu.
Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, maklumat mesti dikongsi, risikan perlu diterjemahkan kepada tindakan, manakala jaringan antarabangsa mesti dimanfaatkan bagi memutuskan rantaian bekalan dadah sebelum bahan terlarang itu sampai ke Malaysia.