
BATU KAWAN, 25 April – Malaysia terus mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai negara utama dunia disokong prinsip dan pendekatan diplomasi dalam menyuarakan pendirian terhadap isu kemanusiaan global, termasuk konflik yang berlaku di Asia Barat.
- Pendekatan diplomasi membolehkan Malaysia berhubung dengan semua pihak tanpa menjejaskan imej dan pendirian negara.
- Hubungan baik dengan Amerika Syarikat, China, negara Teluk dan Iran berdasarkan dasar luar bebas dan merdeka.
- Malaysia boleh berhubung dengan negara yang berdepan ketegangan sambil mengekalkan pendirian jelas.
- Dasar luar seimbang memastikan peranan berprinsip antarabangsa, memperkukuh kepentingan ekonomi dan kestabilan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu membolehkan Malaysia berhubung dengan semua pihak tanpa menjejaskan imej dan pendirian negara.
“Kita mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat, termasuk dalam aspek perdagangan dan pelaburan yang menjadi antara yang utama. Begitu juga dengan China.
“Selain itu, Malaysia juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan negara-negara Teluk, Arab Teluk serta Iran, berasaskan dasar luar kita yang bebas dan merdeka.
“Sebab itu kita boleh berhubung dengan semua negara, termasuk yang sedang berdepan ketegangan atau konflik, tetapi pada masa yang sama kita tetap mengambil pendirian yang jelas.
“Tidak mungkin sebuah negara seperti Malaysia yang bebas, merdeka dan berdaulat tidak mempunyai pendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke 80 dan Karnival Mega JPJ Madani di sini hari ini.
Inisiatif itu juga turut dilihat sebagai benteng penting dalam memperkukuh kepentingan ekonomi serta menjamin kestabilan negara secara berterusan.
Sebagai negara berdaulat, Malaysia tetap memainkan peranan dengan menyuarakan pendirian secara berprinsip di peringkat antarabangsa, selaras dengan dasar luar yang seimbang dan dihormati dunia.