fb fb fb fb fb

Majlis TVET Negara perluas akses kepada pelajar tahfiz, pondok

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

IPOH, 11 Oktober - Majlis TVET Negara memperluas akses pendidikan teknikal kepada pelajar pondok dan maahad tahfiz, bagi memastikan golongan hafiz turut berpeluang menyertai bidang kemahiran tinggi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran kini boleh menyambung pengajian bawah enam rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), sambil meneruskan hafazan masing-masing.

Langkah itu dilihat mampu melahirkan generasi profesional Islam yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran, tetapi juga kemahiran teknikal moden dan keusahawanan.

"Kita telah menyalurkan peluang kepada pelajar untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi.

"Antaranya, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kita mempunyai Fakulti Aeroangkasa yang turut mengambil pelajar Huffaz, begitu juga dengan Fakulti Maritim UniKL di Lumut yang membuka peluang sama kepada mereka.

"Ini menunjukkan bahawa kita tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak, tanpa mengira bangsa, agama, bahasa atau budaya, untuk menyertai kursus TVET," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW di Ipoh Convention Centre ICC, di sini.

Pendekatan inklusif itu akan membentuk ekosistem pendidikan seimbang antara ilmu agama dan kemahiran teknologi bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI