UiTM perkukuh kerjasama antarabangsa

Foto FB UiTM Cawangan Perlis

ARAU, 16 Oktober – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mempertingkat jaringan pendidikan tinggi antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ibn Khaldun University (UIKA), Indonesia, serta pembaharuan MoU bersama Cangzhou Normal University (CZNU), China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai sebenar MoU ialah pelaksanaan program memberi manfaat nyata kepada komuniti akademik, termasuk mobiliti, penyelidikan bersama dan pertukaran akademik.
  • Kerjasama membuka peluang pelajar dan staf bertukar idea, memahami perspektif berbeza serta mempersiapkan diri menghadapi dunia semakin saling berhubung.
  • Program Mobiliti Antarabangsa UiTM-UIKA 2026 menghimpunkan pelajar pascasiswazah, pensyarah dan staf untuk perkongsian ilmu, pengalaman akademik dan budaya.
  • Hubungan dengan Cangzhou Normal University bermula 2021 dan dikekalkan melalui pengajaran bahasa Inggeris dalam talian oleh bakal guru TESL.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, kerjasama antarabangsa bukan sekadar melibatkan pemeteraian dokumen, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan program yang memberikan manfaat nyata kepada komuniti akademik.

“Kerjasama sedemikian membuka peluang kepada pelajar dan staf untuk bertukar-tukar idea, memahami perspektif berbeza serta mempersiapkan diri menghadapi dunia yang semakin saling berhubung.

“Nilai sebenar sesuatu MoU terletak pada usaha bersama yang dilaksanakan selepas perjanjian dimeterai, termasuk program mobiliti, penyelidikan bersama, pertukaran akademik dan aktiviti kebudayaan,” katanya.

Kerjasama UiTM Cawangan Perlis dengan UIKA turut diperkukuh menerusi Program Mobiliti Antarabangsa UiTM–UIKA 2026 yang berlangsung pada Ogos lalu.

Program itu menghimpunkan pelajar pascasiswazah, pensyarah dan staf UIKA daripada Fakulti Agama Islam bersama warga Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Perlis, bagi memperluas perkongsian ilmu, pengalaman akademik dan budaya antara kedua-dua institusi.

Sementara itu, kerjasama UiTM dengan CZNU bermula menerusi pemeteraian MoU pada 2021. Walaupun interaksi secara bersemuka ketika itu terhad akibat pandemik COVID-19, hubungan kedua-dua institusi diteruskan melalui pengajaran bahasa Inggeris secara dalam talian oleh dua bakal guru Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari CZNU kepada pelajar UiTM Cawangan Perlis.

Majlis pemeteraian dan pembaharuan MoU itu berlangsung secara hibrid di Bilik Latihan Pentadbiran, UiTM Cawangan Perlis, serta menerusi platform Zoom.

UiTM diwakili oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor yang menandatangani kedua-dua MoU bagi pihak Naib Canselor UiTM.

Ibn Khaldun University pula diwakili oleh rektornya, Profesor H.E. Mujahidin, dengan disaksikan Pengarah Sekolah Pascasiswazah universiti itu, Profesor Madya Dr. Hendri Tanjung. Cangzhou Normal University diwakili Naib Presidennya, Profesor Dr. Gou Yuxiu.

Kerjasama itu mencerminkan komitmen ketiga-tiga institusi untuk memperluas jaringan akademik, perkongsian kepakaran serta peluang pembangunan pelajar dan staf di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.