
PUTRAJAYA, 16 Oktober – Penetapan gaji minimum RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 dibuat selepas kerajaan mengambil kira kesannya terhadap inflasi, harga barang serta keupayaan ekonomi menampung peningkatan kos.
- Kerajaan buat pengiraan teliti supaya kenaikan gaji tidak memberi tekanan berlebihan terhadap ekonomi negara.
- Kadar ditetapkan jauh lebih rendah daripada cadangan pakar RM3,000 hingga RM3,500 kerana mereka tidak mengambil kira inflasi.
- Penetapan dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan dan semakan Perdana Menteri untuk seimbangkan kepentingan pekerja, majikan dan ekonomi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kadar itu ditetapkan selepas penelitian menyeluruh bagi memastikan kenaikan gaji tidak memberi tekanan berlebihan terhadap ekonomi negara.
“Seperti yang saya katakan, kita telah membuat pengiraan ini dengan sangat teliti. Jika kita lihat, kenaikan ini (gaji) juga tidak mendadak. Kita tidak menetapkan kadar sehingga RM3,000 hingga RM3,500 seperti yang diumumkan oleh ramai pakar di luar sana.
“Kita tidak menetapkan kadar sehingga tahap itu kerana ramai dalam kalangan mereka tidak mengambil kira kenaikan harga dan inflasi,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai kebimbangan terhadap kesan susulan kenaikan gaji minimum termasuk kemungkinan peningkatan harga barang.
Penetapan kadar baharu itu dibuat selepas mengambil kira hasil perbincangan dan penelitian bersama pihak berkaitan sebelum dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meneliti cadangan berkenaan bagi memastikan pelaksanaan tersebut mengambil kira kepentingan pekerja, majikan serta kestabilan ekonomi