
BUKIT MERTAJAM, 12 September – Pulau Pinang menyasar mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan dan logistik serantau menerusi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta pembangunan Penang International Logistics Aeropark (PILA) dan Penang International Financial Centre (PIFC).
- Pembesaran LTAPP bernilai RM1.55 bilion dijangka meningkatkan kapasiti penumpang kepada kira-kira 12 juta setahun apabila siap pada 2028.
- Melalui PILA, kapasiti kargo disasarkan meningkat daripada sekitar 160,000 tan kepada 500,000 tan setahun, menyokong industri E&E dan semikonduktor.
- PIFC dan inisiatif berkaitan akan memacu ekosistem kewangan berasaskan teknologi, menarik pelaburan bernilai tinggi serta menyokong pertumbuhan PMKS dan Medtech.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek pembesaran LTAPP bernilai RM1.55 bilion itu dijangka meningkatkan kapasiti lapangan terbang tersebut kepada kira-kira 12 juta penumpang setahun apabila siap pada 2028.
Beliau berkata pembangunan itu penting bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan industri bernilai tinggi negeri itu, selain memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama ke Wilayah Utara.
“Lapangan terbang itu (ketika ini) mengendalikan kira-kira 70 peratus kargo udara Malaysia dan lebih RM400 bilion nilai eksport dengan jumlah kargo sekitar 160,000 tan dan melalui PILA, kami menyasarkan kapasiti kargo meningkat kepada 500,000 tan setahun.
“Kapasiti logistik yang lebih besar itu penting bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E) serta sektor pembuatan bernilai tinggi yang terus berkembang di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kad Laporan 8 Tahun Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Chow berkata PILA yang dibangunkan secara usaha sama antara Penang Development Corporation (PDC) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) itu akan menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh ekosistem logistik Wilayah Utara.
Fasa pertama projek tersebut melibatkan pembinaan gudang kargo udara bertaraf zon perdagangan bebas dan dijangka siap serta mula beroperasi pada 2029, dengan kapasiti tambahan sehingga 100,000 tan setahun.
Secara keseluruhan, PILA disasarkan menyediakan lebih dua juta kaki persegi ruang gudang dan kapasiti sehingga 500,000 tan kargo setahun menjelang 2050.
Sementara itu Chow berkata Pulau Pinang juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan PIFC yang akan menjadi pemangkin kepada ekosistem kewangan berasaskan teknologi untuk Wilayah Utara.
Katanya, pembangunan ekosistem berkenaan akan berjalan seiring dengan usaha negeri itu untuk kekal di barisan hadapan dalam industri semikonduktor, menarik pelaburan bernilai tinggi serta memperluas pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Usaha itu turut merangkumi bidang pertumbuhan baharu seperti teknologi perubatan (Medtech), inisiatif IC Silicon Design 5km dan pembangunan Penang ATE Campus,” katanya.
Beliau berkata gabungan peningkatan kapasiti penumpang, pengukuhan keupayaan kargo dan pembangunan ekosistem kewangan berasaskan teknologi akan membantu Pulau Pinang membina rangkaian ekonomi yang lebih kukuh bagi menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi.
“Ini bukan sekadar membina infrastruktur, ia mengenai membina keupayaan Pulau Pinang untuk menyokong perdagangan, pembuatan dan ekonomi bernilai tinggi,” katanya.- BERNAMA