Nahas helikopter: Jasad lima mangsa diserah kepada waris

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah ketika ditemui media di Hospital Miri

MIRI, 12 September – Jasad lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, diserahkan kepada waris masing-masing hari ini untuk urusan seterusnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses mengenal pasti dan menyerahkan barangan peribadi mangsa kepada waris masih berjalan.
  • Analisis DNA Jabatan Kimia disiapkan dalam 24 jam, menunjukkan padanan dan membantu pengenalan mangsa.
  • Pengurusan mayat termasuk penghantaran dua jasad ke Semenanjung mungkin melalui TUDM dan tiga lagi untuk pengebumian di Miri dan Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, proses yang masih berbaki ialah mengenal pasti barangan peribadi milik mangsa untuk diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Secara tentatif, kita sudah menyerahkan urusan kepada keluarga mangsa. Tetapi mungkin oleh kerana masalah-masalah untuk menguruskan dengan pesawat, kemungkinan penghantaran pulang akan dibuat esok menggunakan pesawat Layang-Layang Aerospace dan urusan berkenaan akan dikendalikan oleh pihak keluarga”, katanya.

“Alhamdulillah, saya baru sahaja keluar dari Jabatan Forensik dan kini sedang menjalankan proses pengecaman barang-barang peribadi untuk diserahkan kepada waris mangsa.

“Kita juga berterima kasih kepada pihak Jabatan Kimia yang bertungkus-lumus menyiapkan analisis DNA. Keputusan DNA berjaya diperoleh dalam tempoh 24 jam dan seawal pukul 6 pagi tadi.

“Mereka telah memaklumkan bahawa analisis DNA telah selesai dan menunjukkan padanan dengan penandaan yang kita lakukan di tempat kejadian serta identiti mangsa-mangsa yang telah dikenal pasti”, katanya.

Beliau berkata, jasad dua mangsa akan dibawa pulang ke Semenanjung dan kemungkinan menggunakan khidmat pihak TUDM. Manakala jasad tiga lagi mangsa akan diuruskan untuk pengebumian di Miri dan Kuching.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Hospital Miri petang tadi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.