
KUALA LUMPUR, 12 September – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkukuh usaha membantu penjaja dan peniaga kecil menerusi Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur 2026, khususnya dalam memperluas akses kepada kemudahan pembiayaan serta sokongan kerajaan.
- Inisiatif sejajar usaha kerajaan membasmi kemiskinan bandar dengan memperluas akses kemudahan pembiayaan dan sokongan kepada peniaga kecil.
- Kajian mendapati ramai peniaga kecil tidak mengetahui kemudahan pembiayaan yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan.
- Peniaga ditawarkan maklumat permohonan lesen, potongan sewa gerai 50 peratus dan suntikan tifoid percuma kepada pelesen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu selaras usaha kerajaan membasmi kemiskinan bandar dengan memastikan golongan sasaran mengetahui kemudahan kewangan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan.
“Hasil kajian yang dijalankan mendapati masih ramai peniaga kecil tidak mengetahui mengenai kemudahan pembiayaan yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan,”ujarnya.
Beliau berkata kepada media selepas majlis perasmian Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur 2026 di perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Tambah Hannah, usaha itu turut memberi peluang menghidupkan semula aktiviti pasar malam di sekitar Kuala Lumpur, selain memastikan golongan yang memerlukan mendapat manfaat daripada kemudahan kerajaan.
“Selain akses pembiayaan, peniaga turut ditawarkan maklumat berkaitan permohonan lesen, pengurangan 50 peratus kadar sewaan unit gerai milik Datuk Bandar Kuala Lumpur serta suntikan tifoid percuma kepada pelesen DBKL,” jelas beliau lagi.