
SEPANG, 15 Jun – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi pada hujung bulan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tarikh permulaannya akan diumumkan dalam masa dua minggu lagi dan projek itu berada pada fasa akhir operasi percubaan.
“Selepas pebagai ujian dilaksanakan dan operasi percubaan dimuktamadkan, kita berkeyakinan operasi (LRT3) dapat dimulakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya ke-62 di sini hari ini.
Sementara itu, Rang Undang-Undang (RUU) bagi penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) tidak akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang akan bermula minggu depan.
Menurutnya, kerajaan sedang memberi keutamaan kepada pindaan Akta Pengangkutan Jalan sebelum meneruskan usaha mewujudkan MTSB.
“Ketiadaan MTSB bukan bermakna tiada siasatan dijalankan. Sebaliknya, bagi insiden kritikal atau berskala besar, siasatan terperinci tetap dilaksanakan menerusi jawatankuasa khas atau pasukan petugas yang ditubuhkan,” katanya.
Jelas beliau, penubuhan MTSB dijangka memperkukuh sistem siasatan keselamatan pengangkutan negara melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, bebas dan berasaskan kepakaran teknikal bagi membantu mencegah kejadian sama daripada berulang pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, perbincangan lanjut dengan syarikat pengendali e-hailing akan diadakan bagi meneliti cadangan pemasangan kamera dalam kenderaan sebagai langkah meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang.
Bagaimanapun, cadangan itu perlu diteliti secara menyeluruh memandangkan ia turut melibatkan isu privasi penumpang.
“Keselamatan penumpang dan pemandu sama-sama penting. Justeru, keseimbangan perlu dicapai dalam setiap keputusan yang diambil.
“Perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak pengendali sebelum sebarang tindakan diputuskan,” katanya.