MARA, MISC bekerjasama perkasa bakat maritim negara

Gambar Hiasan / BERNAMA

MASJID TANAH, 15 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalin kerjasama strategik dengan MISC Berhad bagi memperkasa bakat maritim negara, bermula dari peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) hingga ke Akademi Laut Malaysia (ALAM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif merangkumi pendedahan awal kepada industri, penajaan pendidikan dan peluang kerjaya dalam sektor maritim.
  • MARA-MISC Edu Bridge pilih lima MRSM perintis untuk program STEM maritim, lawatan industri dan sesi perkongsian bersama profesional.
  • 50 pelajar lepasan SPM menerima tajaan MESH-MISC untuk diploma Nautika, Kejuruteraan Marin dan Teknologi Elektro Marin.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu merangkumi pendedahan awal kepada industri, penajaan pendidikan dan peluang kerjaya dalam sektor maritim.

Menerusi Program MARA-MISC Edu Bridge, lima MRSM dipilih sebagai sekolah angkat maritim perintis MISC bagi melaksanakan aktiviti pembangunan bakat.

Ini termasuk program Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) berasaskan maritim, lawatan industri dan sesi perkongsian bersama profesional industri.

“MISC mengambil lima MRSM pada peringkat awal sebagai sekolah angkat dan kita berhasrat mewujudkan kadet muda maritim di MRSM.

“Buat masa ini, lima MRSM menjadi perintis terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di ALAM, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Selain itu, 50 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari MRSM menerima tajaan bersama MARA, MISC dan ALAM menerusi MARA-MISC Education Sponsorship Hybrid Programme (MESH-MISC).

Kesemua penerima tajaan kini memulakan pengajian dalam jurusan Diploma Pengajian Nautika, Diploma Kejuruteraan Marin dan Diploma Teknologi Elektro Marin di ALAM.

Beliau berkata pendekatan pendidikan berasaskan industri itu penting bagi memastikan pelajar dan siswazah MARA memperoleh kemahiran serta pengetahuan yang memenuhi keperluan semasa sektor berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.