
PUTRAJAYA, 15 Jun– Kementerian Kewangan (MOF) mengesan beberapa kes perolehan kerajaan yang menunjukkan spesifikasi tender dipercayai menjurus kepada vendor tertentu.
- Spesifikasi tender didakwa menjurus kepada vendor tertentu sehingga mengurangkan persaingan.
- Tender kelihatan kompetitif awalnya, tetapi hanya satu syarikat layak selepas penilaian teknikal dan kewangan.
- Kejadian berulang melibatkan beberapa agensi, menunjukkan corak masalah sistemik dalam perolehan kerajaan.
- Isu itu dibangkitkan semasa Persidangan Badan Berkanun Malaysia 2026 yang menghimpunkan kira-kira 150 pemimpin.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, terdapat tender pada awalnya kelihatan kompetitif, namun hanya satu syarikat memenuhi syarat selepas penilaian teknikal dan kewangan dilaksanakan.
Menurut beliau, perkara tersebut dikesan berlaku berulang kali membabitkan beberapa agensi.
“Malaysia ini agak kreatif. Apabila semua tender dilaksanakan, kita melihat banyak insiden di mana tender itu nampak cantik pada peringkat awal.
Tetapi selepas penilaian kewangan dan teknikal dibuat, hanya tinggal satu syarikat yang layak kerana spesifikasi yang ditetapkan menjurus kepada satu vendor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Badan Berkanun Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 150 pemimpin badan berkanun, sektor korporat, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dari seluruh negara.