Tiada petunjuk baharu dalam operasi cari nelayan hilang di perairan Kemaman

Lokasi dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki tenggelam pada Rabu lepas di perairan Kemaman, kira-kira 27.9 batu nautika/ BERNAMA

KEMAMAN, 15 Jun – Tiada petunjuk baharu ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua nelayan hilang selepas bot yang dinaiki karam dibadai ribut kira-kira 27.9 batu nautika dari Pantai Kerteh, Kemaman pada Rabu lalu, dalam operasi hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi hari kelima meliputi 117.30 batu nautika persegi masih gagal mengesan kedua-dua mangsa.
  • Keadaan cuaca agak baik, angin 10 hingga 20 km/j dan ombak 0.5 hingga 1 meter memudahkan operasi.
  • APMM gerakkan bot KM Redang, Pasukan Polis Marin PLC 3 serta sebuah bot nelayan tempatan menyertai pencarian.
  • Seramai 34 anggota APMM, PDRM dan nelayan tempatan terlibat; seorang mangsa, Mahadi Jusoh, diselamatkan pagi Khamis.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi hari kelima ini meliputi kawasan pencarian seluas 117.30 batu nautika persegi itu masih gagal mengesan kedua-dua mangsa.

Beliau berkata keadaan cuaca yang agak baik hari ini dengan kelajuan angin 10 hingga 20 kilometer sejam dengan ketinggian ombak 0.5 hingga satu meter membantu kelancaran operasi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan bot KM Redang, manakala Pasukan Polis Marin bot PLC 3. Selain itu, operasi berkenaan turut dibantu sebuah bot nelayan tempatan bagi mengesan mangsa di sekitar lokasi kejadian.

Seramai 34 anggoga APMM dan PDRM serta nelayan tempatan terlibat dalam Carilamat yang masuk hari kelima hari ini.

Dalam kejadian Rabu lepas, sebuah bot nelayan dikendali tekong, Azan Muda, 68, dan dua kru Nordin Mohammad, 61, dan Mahadi Jusoh, 51, tenggelam dalam kejadian ribut kira-kira pukul 12.30 malam.

Bagaimanapun salah seorang daripada mereka, Mahadi berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan di perairan Kemaman kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.