
MUAR, 15 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Kazan, Rusia esok dalam usaha mendapatkan jaminan bekalan minyak dan diesel bagi keperluan Malaysia.
- Memohon jaminan daripada Rusia untuk penyaluran minyak dan diesel bagi memastikan bekalan mencukupi untuk Malaysia.
- Akan menyertai mesyuarat pemimpin ASEAN-Rusia untuk membincangkan isu berkaitan tenaga dan keselamatan bekalan.
- Langkah proaktif bagi mengelakkan krisis bekalan, mengekalkan operasi stesen minyak, dan memelihara harga RON95 pada RM1.99.
Beliau berkata perkara itu akan menjadi antara agenda utama dalam pertemuannya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
“Dalam dua hari ini, insya-Allah saya akan dapat persetujuan supaya Rusia menjamin penyaluran minyak dan diesel kepada Malaysia agar kita tidak berdepan masalah bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan minum petang bersama komuniti nelayan, peladang dan masyarakat setempat di sini.
Jelasnya lagi, semasa lawatan itu beliau akan turut menyertai mesyuarat antara pemimpin ASEAN dan kepimpinan Rusia bagi membincangkan isu berkaitan tenaga.
“Langkah proaktif itu penting bagi memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin, selain mengelakkan krisis bekalan di beberapa negara jiran sehingga ada stesen minyak terpaksa ditutup,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan pengurusan ekonomi yang baik serta hubungan antarabangsa yang kukuh membolehkan Malaysia terus mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada RM1.99 seliter, antara yang terendah di dunia.