Melaka ambil tindakan terhadap komuniti Rohingya cetus masalah

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh/ Foto FB Ab Rauf Yusoh

ALOR GAJAH, 15 Jun – Kerajaan Negeri Melaka akan mengambil tindakan kepada komuniti Rohingya yang mencetuskan masalah dan mewujudkan suasana yang tidak selamat kepada penduduk setempat di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan pusat sekiranya tindakan lanjut perlu diambil terhadap komuniti berkenaan.

“Jadi apabila mereka tidak mengikut adat dan peraturan, maka pastinya wakil rakyat, memberikan perhatian kepada rakyat tempatan.

“Saya pun tidak boleh berkompromi sekiranya mereka datang, memerlukan perhatian dan juga belas ihsan, mereka tidak boleh melampaui batas ketertiban masyarakat dalam kawasan yang diduduki. Sekiranya mereka melanggar adab, saya akan bekerjasama dengan pihak pusat untuk mengambil tindakan”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Fasiliti Pengecatan Badan Kenderaan EPMB di Taman Perindustrian HICOM Pegoh, Melaka.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, komuniti Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini didakwa mula mengemukakan pelbagai permohonan yang disifatkan melangkaui status sebagai pelarian.

Dianggarkan hampir 1,000 pelarian Rohingya kini menetap di sekitar kawasan Parlimen Kota Melaka, terutama di Duyong, Limbongan dan Pengkalan Rama Pantai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.