
SERDANG, 15 Jun– Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu menjadi penggerak utama pembangunan negara serta penyelesai kepada pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat.
- Universiti mesti menjadi penghubung antara kerajaan, industri dan komuniti bagi menyelesaikan isu serta memperkukuh kerjasama.
- IPTA tidak boleh bergerak secara berasingan; perlu bekerjasama lintas sektor untuk kekal relevan dengan keperluan negara.
- Setiap ringgit peruntukan mesti menghasilkan impak nyata terhadap pembangunan nasional dan pengiktirafan global.
- Bulan Sinergi Putra menjadi platform menyatukan institusi, agensi kerajaan, industri dan komuniti ke arah pembangunan negara yang lebih mampan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, universiti tidak lagi boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan, industri dan komuniti.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan institusi pengajian tinggi terus relevan dalam mendepani keperluan semasa negara.
“Institusi pengajian tinggi harus bertindak sebagai enjin pembangunan negara, pusat rekayasa sosial dan penyelesai masalah komuniti yang dinamik.
Universiti tidak boleh fokus hanya kepada pencapaian semata-mata. Setiap ringgit peruntukan yang diterima perlu diterjemahkan kepada impak nyata kepada landskap nasional dan global,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Sinergi Putra Universiti Putra Malaysia (UPM) 2026 di sini, hari ini.
Menurut Datuk Prof. Dr. Azlinda lagi, universiti juga perlu lebih terbuka dalam menangani isu semasa dan menyumbang penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, beliau menyifatkan Bulan Sinergi Putra 2026 sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu gerak kerja bersama.
Inisiatif berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, industri dan komuniti ke arah pembangunan negara yang lebih mampan.