KUALA LUMPUR, 11 Mei - Lorong paling kiri untuk kenderaan berat di laluan masuk Plaza Tol Hutan Kampung arah selatan akan ditutup selama lima hari mulai Isnin ini.
PLUS Malaysia Berhad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia bagi menjalankan kerja penyelenggaraan jalan bermula 9 pagi, 13 Mei hingga 12 tengah hari, 17 Mei depan.
Justeru PLUS menasihatkan pengguna kenderaan berat dengan had kelebaran melebihi 3.5 meter yang menghala ke Alor Setar, Kedah supaya menggunakan laluan alternatif di Persimpangan Kepala Batas menuju ke Jalan Negeri (K5) – Jalan Hutan Kampung.
"Selain itu, pengguna kenderaan berat yang menghala ke Sungai Petani atau Pulau Pinang atau selatan juga boleh menggunakan laluan alternatif di Plaza Tol Alor Setar Utara sepanjang tempoh kerja-kerja berkenaan dijalankan.
"Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan PLUS dari semasa ke semasa ketika melalui kawasan terbabit," menurut kenyataan itu.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi PLUS atau Chatbot PUTRI serta menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya memerlukan sebarang bantuan kecemasan.