
KOTA TINGGI, 15 April – Kerajaan Negeri Johor melalui Ranhill SAJ kini sedang giat melaksanakan pemindahan set Desalination Plant (Loji Penyahgaram) dari Forest City ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng bagi menangani krisis bekalan air yang menjejaskan penduduk setempat.
- Paras air Sungai Ulu Sedili Kecil masih rendah, menyebabkan LRA Lok Heng belum dapat beroperasi semula.
- Usaha guna air bawah tanah dan pemindahan dari Sungai Lukah gagal kerana masalah kualiti air.
- Loji penyahgaram mampu hasilkan dua juta liter air terawat sehari; pemasangan 34% siap, dijangka beroperasi 20 April 2026.
- Operasi loji dijangka membantu Lok Heng dan Waha; Exco mohon penduduk bersabar dan berjimat penggunaan air.
Langkah drastik itu diambil berikutan paras air di Sungai Ulu Sedili Kecil masih belum mencukupi untuk membolehkan LRA Lok Heng beroperasi semula, manakala beberapa alternatif lain sebelum ini gagal membuahkan hasil.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sebelum ini pihaknya telah cuba menggunakan air bawah tanah melalui telaga tiub serta pemindahan air dari Sungai Lukah, namun berdepan kekangan kualiti air.
“Air Sungai Lukah memiliki kemasinan yang tinggi dan tidak boleh dipindahkan ke Sungai Ulu Sedili Kecil kerana LRA Lok Heng tidak memiliki fasiliti untuk merawat air masin.
“Namun begitu, kami tidak berputus asa. Ranhill SAJ kini sedang memindahkan set Loji Penyahgaram yang sebelum ini berada di Forest City untuk digunakan di LRA Lok Heng,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Beliau menjelaskan, dengan pemasangan set loji tersebut, air dari Sungai Lukah yang mempunyai tahap kemasinan tinggi akan dapat dirawat untuk kegunaan penduduk.
Loji Penyahgaram tersebut mampu menghasilkan sebanyak dua juta liter air terawat sehari dan setakat ini, proses pemasangannya telah mencapai tahap 34 peratus siap.
“Insya-Allah dijangkakan pada 20 April 2026, loji ini akan beroperasi dan sekurang-kurangnya dapat membantu pengguna di kawasan Lok Heng dan Waha untuk menerima bekalan air dari pili paip rumah mereka,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli turut memohon agar penduduk yang terkesan dengan situasi kemarau ini dapat bersabar dan mengamalkan penggunaan air secara berhemah.