ROMPIN, 14 November - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 138 Jalan Kota Bahagia–Melati, berhampiran Kilang Sawit KOSPAM, pukul 3.20 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Penguasa Polis Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Zamri Saili, 48 pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.
"Sementara itu, pemandu lori syarikat kurier, Afzarudin Ahmad, 41, mengalami kecederaan pada tangan, kaki dan kepala kini dirawat di hospital sama," katanya.
Siasatan awal mendapati lori berkenaan yang datang dari arah Melati hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dipandu mangsa.
Cuaca ketika kejadian dilaporkan baik, namun permukaan jalan didapati licin dan berminyak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.