fb fb fb fb fb

Lelaki maut kenderaan terbabas masuk longkang besar

FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

JOHOR BAHRU, 2 Januari- Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas ke dalam longkang besar di Lebuhraya Pesisir Pantai di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya itu melalui talian MERS999 pada pukul 5.20 pagi.

Seramai 14 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bersama aset menyelamat bergegas ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azmi Johor berkata, MPV berkenaan telah terjunam ke dalam longkang selebar 20 kaki dengan kedalaman 10 kaki.

Bomba bertindak menuruni longkang tersebut yang berisi air sedalam hampir dua meter menggunakan tangga daripada jentera sebelum menemukan mangsa pada jarak lebih kurang 50 kaki dari kenderaannya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Kerja-kerja sweeping dalam longkang telah dijalankan oleh bomba bagi mencari jika terdapat mangsa lain.

"Setelah memastikan keadaan benar selamat dan tiada mangsa lain terlibat, operasi ditamatkan pada kira-kira pukul 7.24 pagi," katanya dalam kenyataan.

 

0201 MAUT LONGKANG BESAR JOHOR 2

FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

SITI AISHAH BINTI MD ISA