
SEREMBAN, 6 April – Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju mengurangkan kadar sewa gerai dan premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 20 peratus selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember ini.
- Inisiatif dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penyewa premis seluruh negeri.
- Pelaksanaan melibatkan premis di bawah beberapa PBT termasuk MBS, MPPD dan MPJ.
- Langkah membantu peniaga kecil dan sederhana meneruskan operasi; implikasi kewangan melebihi RM1.4 juta.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penyewa premis di seluruh negeri dalam menghadapi peningkatan kos operasi semasa.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengurangan tersebut melibatkan premis di bawah seliaan beberapa PBT termasuk Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Majlis Perbandaran Jempol (MPJ) serta beberapa majlis daerah lain.
Menurut beliau, langkah itu merupakan antara usaha kerajaan negeri membantu peniaga kecil dan sederhana agar dapat meneruskan operasi perniagaan dengan lebih stabil.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk mengurangkan kadar sewa gerai milik PBT sebanyak 20 peratus kepada penyewa bermula Jun hingga Disember,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan melibatkan implikasi kewangan melebihi RM1.4 juta kepada kerajaan negeri.