fb fb fb fb fb

Lebih 350,000 pelajar mulakan sesi persekolahan di Kedah

Seramai 200,793 murid sekolah rendah di Kedah, mulakan sesi persekolahan hari ini

ALOR SETAR, 10 Mac- Seramai 153,918 pelajar sekolah menengah dan seramai 200,793 murid sekolah rendah di Kedah, memulakan sesi persekolahan hari ini.

Terdapat 204 sekolah menengah dan 548 buah sekolah rendah dibuka dengan 30,259 guru memulakan tugas selepas tamat cuti penggal.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman berkata seramai 31,110 murid Tahun 1 mendaftar bagi permulaan sesi persekolahan 2024/2025.

"Setakat ini pergerakan murid-murid bergerak dengan lancar, kita tidak ada sebarang isu di Kedah. Sekolah telah membuat persiapan dan persediaan yang sangat rapi pada sesi persekolah pada kali ini. Ibu bapa bersedia, murid bersedia, guru juga bersedia dan persiapan ini kita telah lakukan sebulan lalu", katanya ditemui selepas melaklukan tinjauan hari pertama pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Sementara itu, pelbagai gelagat si cilik dilihat memasuki Darjah Satu diiringi ibu bapa di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai, Alor Setar, awal pagi tadi.

Tinjauan RTM mendapati 150 murid disambut oleh Guru Besar SK Jalan Pegawai, Huslina Mohamad Husain dan Penolong Kanan, serta guru-guru lain.

Para pelajar berkenaan kelihatan ceria berjumpa kawan baru, selain ada juga yang menangis tetapi ditenangkan para guru.

Para pelajar cilik ini juga disambut oleh maskot serta hiasan belon berwarna-warni.

Tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan pendekatan baharu, tiada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah pada minggu pertama.

ROSLINA BINTI DIN