
MADRID, 20 Julai – Pasukan bomba terus bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan di utara Madrid yang telah memusnahkan kira-kira 13,000 hektar kawasan selain memaksa sekitar 700 penduduk dipindahkan.
- Kerajaan memantau rapat kebakaran; Perdana Menteri memuji anggota bomba atas usaha melindungi nyawa dan mengekang api.
- Ratusan anggota bomba dan pesawat pengebom air dikerahkan, tetapi muka bumi pergunungan menyukarkan kawalan kebakaran.
- Perubahan iklim dan gelombang haba kerap meningkatkan risiko kebakaran hutan; insiden lain di Aragon dan Almeria memperlihatkan impak serius.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menerusi hantaran di platform X memaklumkan kerajaan memantau rapat perkembangan kebakaran itu dan merakamkan penghargaan kepada anggota bomba yang bekerja tanpa henti bagi melindungi nyawa serta mengawal kebakaran.
Kira-kira 300 anggota bomba dibantu 26 pesawat pengebom air dikerahkan untuk mengawal kebakaran yang bermula pada Khamis lalu di wilayah Guadalajara, ketika negara itu berdepan cuaca panas melampau.
Ketua kerajaan wilayah Castilla-La Mancha, Emiliano García-Page, menyifatkan kebakaran tersebut sebagai sukar dikawal berikutan keadaan muka bumi yang mencabar.
Kebakaran berlaku di kawasan pergunungan berhutan yang merangkumi Taman Semula Jadi Sierra Norte, habitat kepada beberapa spesies terancam termasuk helang, serigala dan rama-rama.
Sementara itu, satu lagi kebakaran hutan yang tercetus berhampiran Zaragoza di wilayah Aragon pada Rabu lalu turut memaksa kira-kira 1,000 penduduk dipindahkan.
Timbalan Presiden wilayah Aragon, María del Mar Vaquero berkata keadaan cuaca yang lebih baik telah membantu anggota bomba memperlahankan penyebaran api.
Menurutnya, pasukan kecemasan akan menentukan bila penduduk lima kampung yang dipindahkan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Kebakaran di Aragon setakat ini memusnahkan kira-kira 14,400 hektar kawasan, lebih rendah daripada anggaran awal sebanyak 16,000 hektar.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden tersebut.
Awal bulan ini, Sepanyol turut berdepan antara kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negara itu apabila kebakaran di wilayah Almeria mengorbankan 13 nyawa dan memusnahkan sekitar 7,000 hektar kawasan.
Sepanyol merupakan antara negara Eropah yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, dengan gelombang haba yang semakin kerap dan berpanjangan.
Suhu yang sering melebihi 40 darjah Celsius mewujudkan keadaan yang memudahkan kebakaran hutan merebak.
Saintis turut menyatakan perubahan iklim akibat aktiviti manusia meningkatkan tempoh, intensiti dan kekerapan gelombang haba, sekali gus mengeringkan tumbuh-tumbuhan dan meningkatkan risiko kebakaran hutan. – AFP