
MADRID, 20 Julai – Ribuan penyokong membanjiri jalan-jalan utama di Madrid pada Ahad bagi meraikan kejayaan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026 sekali gus menjulang trofi berprestij itu buat kali kedua.
- Penyokong berjersey merah memenuhi Paseo de Recoletos menuju Dataran Cibeles, mengikuti tradisi sambutan kebangsaan.
- Sorakan dan suar meraikan kemenangan, sementara puluhan ribu sanggup berdepan cuaca panas hampir 35 darjah untuk tonton skrin gergasi.
- Kegembiraan meluas ke seluruh negara, dengan dataran penuh di Barcelona dan Seville serta menamatkan penantian sejak kemenangan 2010.
Penyokong yang memakai jersi merah ikonik skuad kebangsaan memenuhi laluan Paseo de Recoletos menuju ke Dataran Cibeles, lokasi tradisi sambutan kemenangan pasukan kebangsaan Sepanyol.
Sorakan kegembiraan para penyokong bergema di seluruh kawasan sambil sebahagian penyokong menyalakan suar sebagai tanda meraikan kejayaan bersejarah itu.
Sejak awal pagi, puluhan ribu penyokong sanggup berdepan cuaca panas mencecah 35 darjah Celsius bagi mendapatkan lokasi terbaik untuk menyaksikan perlawanan menerusi skrin gergasi yang dipasang di dua zon khas peminat di Madrid.
Siaran televisyen turut memaparkan penyokong melompat kegembiraan sambil mengibarkan bendera merah dan kuning Sepanyol di dataran-dataran yang dipenuhi orang ramai di seluruh negara, termasuk di Barcelona di timur laut dan Seville di barat daya.
Kejayaan itu menamatkan penantian selama 16 tahun selepas Sepanyol kali terakhir muncul juara dunia pada edisi 2010 di Afrika Selatan.
Ketika itu, ratusan ribu penyokong turut memenuhi jalan-jalan di Madrid untuk menyambut kepulangan pasukan yang menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negara tersebut.