
EAST RUTHERFORD, 20 Julai – Ketua pasukan Perancis, Kylian Mbappe muncul pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2026 selepas menamatkan kejohanan sebagai penjaring terbanyak dengan 10 gol.
- Mbappe kini penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 22 gol, mengatasi rekod Messi 21 gol.
- Beliau menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan England 6-4 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
- Walaupun raih anugerah individu, Mbappe sekali lagi gagal membawa Perancis mara ke perlawanan akhir Piala Dunia.
Penyerang berusia 27 tahun itu mengatasi bintang Argentina, Lionel Messi yang mengumpul lapan gol selepas gagal menambah jaringan dalam perlawanan akhir di New Jersey.
Pemain tengah England, Jude Bellingham dan penyerang Norway, Erling Haaland masing-masing menamatkan saingan dengan tujuh gol.
Mbappe, yang turut memenangi anugerah sama pada Piala Dunia 2022 di Qatar, menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan England 6-4 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Bintang Real Madrid itu kini muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia dengan 22 gol daripada tiga edisi kejohanan, mengatasi rekod Messi yang mengumpul 21 gol.
“Saya lebih rela tidak menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman jika dapat beraksi dalam perlawanan akhir,” kata Mbappe, yang telah membuat lebih 100 penampilan bersama skuad kebangsaan Perancis.
Walaupun merangkul anugerah individu berprestij itu, Mbappe sekali lagi terlepas peluang menjulang trofi Piala Dunia selepas Perancis gagal mara ke pentas final. – AFP