JKR Malaysia, Sabah dan Sarawak perkukuh kolaborasi

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga, kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam merasmikan Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia Tahun 2026/ BERNAMA

KOTA KINABALU, 19 Julai – Kolaborasi strategik antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak dijangka dapat memperkemas penyelarasan pelaksanaan projek, selain membantu menangani isu kelewatan serta projek yang berdepan masalah di seluruh negara, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kolaborasi penting supaya agensi pelaksana dapat berbincang terbuka dan mencari penyelesaian bersama bagi isu pelaksanaan projek.
  • JKR Malaysia, JKR Sabah, JKR Sarawak dan Kementerian duduk semeja menyelesaikan isu projek secara bersama.
  • Menandatangani Memorandum Persefahaman penubuhan Makmal MyBIM Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk kemajuan teknologi pembinaan.
  • Deklarasi Data Aset Jalan memperkukuh pengurusan data jalan yang lebih sistematik dan bersepadu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kolaborasi itu merupakan medium penting kepada agensi pelaksana utama negara untuk berbincang secara terbuka mengenai cabaran yang dihadapi dan mencari penyelesaian bersama.

“Kolaborasi ini penting bagi memastikan agensi pelaksana utama seperti JKR Malaysia, JKR Sarawak, JKR Sabah bersama Kementerian Kerja Raya dapat duduk semeja untuk berbincang dan menyelesaikan setiap isu yang timbul.

“Terutama perkara yang melibatkan masalah dalam pelaksanaan projek, kita perlu mencari penyelesaian secara bersama. Itulah kepentingan kolaborasi yang dilaksanakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia (KKR, JKR Sabah dan CIDB) di sini.

Program itu turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman bagi penubuhan Makmal MyBIM Malaysia di Sabah dan Sarawak, serta Deklarasi Data Aset Jalan bagi memperkukuh pengurusan data jalan secara lebih sistematik dan bersepadu.

Seramai 140 peserta menghadiri program tersebut, terdiri pengurusan tertinggi dan pegawai teknikal dalam profesion pembinaan di peringkat Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Program itu berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Julai, dengan pelaksanaan siri seterusnya akan diadakan di Semenanjung pada tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.