Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Meradong

Kemalangan maut melibatkan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda di Batu 8, Jalan Kelupu (Sungai Gemuan), Meradong

BINTANGOR, 19 Julai – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 8, Jalan Kelupu (Sungai Gemuan), Meradong, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenal pasti sebagai Mohammad Lukman Salleh, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Bintangor.
  • Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
  • Pacuan empat roda merempuh hadapan motosikal; pemandu dan dua penumpang tidak cedera; mayat dibawa ke Hospital Sarikei.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, mangsa dikenali sebagai Mohammad Lukman Salleh, berusia 30 tahun, dari Rumah Rabaie, Kampung Darul Falah, Bintangor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Bintangor.

Beliau berkata kejadian kira-kira pukul 2.00 petang itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Sibu menuju ke Bintangor hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan, berdasarkan siasatan awal polis.

“Sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah Bintangor menuju ke Sibu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan motosikal berkenaan”, katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemandu pacuan empat roda berusia 35 tahun bersama dua penumpangnya masing-masing berusia 35 tahun dan 12 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses dokumentasi dan bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.