Argentina vs Sepanyol, siapa pemegang takhta bola sepak dunia 2026

Foto Facebook Sukan TV RTM

KOMENTAR

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertembungan dua falsafah bola sepak: Sepanyol berasaskan penguasaan bola, Argentina mengutamakan disiplin taktikal dan serangan balas tajam.
  • Lionel Messi berpeluang menutup lembaran Piala Dunia dengan cemerlang manakala Lamine Yamal muncul harapan muda Sepanyol.
  • Argentina memburu gelaran dunia keempat, manakala Sepanyol mengintai kejuaraan kedua selepas 16 tahun menanti.

Pentas akhir Piala Dunia 2026 akhirnya menemukan dua kuasa besar bola sepak dunia apabila seluruh dunia bakal menyaksikan juara bertahan, Argentina, berdepan Sepanyol dalam aksi penentu kejuaraan di Stadium New York New Jersey, awal pagi esok.

Lebih daripada sekadar perebutan trofi, perlawanan itu turut menjanjikan pertembungan dua falsafah bola sepak berbeza dengan Sepanyol tampil menerusi identiti permainan berasaskan penguasaan bola dan hantaran pantas, manakala Argentina pula mempertaruhkan pengalaman, disiplin taktikal serta keupayaan menghukum lawan menerusi serangan balas yang tajam.

Sepanyol melangkah ke perlawanan akhir dengan reputasi sebagai antara pasukan paling konsisten sepanjang kejohanan selepas menyingkirkan Portugal, Belgium dan Perancis, selain hanya dibolosi beberapa gol hasil benteng pertahanan yang cukup ampuh.

Namun, Argentina sekali lagi membuktikan mengapa mereka masih dianggap kuasa besar bola sepak dunia apabila berjaya mengharungi laluan sukar ke final, termasuk menewaskan England di separuh akhir, hasil ketenangan serta mentaliti juara yang terus menjadi senjata utama skuad kendalian Lionel Scaloni.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada Lionel Messi yang berpeluang menutup lembaran kariernya di pentas Piala Dunia dengan cara paling sempurna sekiranya berjaya mempertahankan kejuaraan dimenangi di Qatar empat tahun lalu.

Pada masa sama, skuad Luis de la Fuente pula meletakkan harapan tinggi kepada bintang muda sensasi, Lamine Yamal, yang terus mencuri tumpuan menerusi aksi matang sepanjang kejohanan dan berpeluang mengemudi negaranya menjulang trofi dunia buat kali kedua.

Jika La Roja berjaya memonopoli penguasaan bola dan memaksa Argentina bertahan dalam tempoh yang panjang, peluang mereka untuk menamatkan kemarau kejuaraan dunia selama 16 tahun pasti semakin cerah. Namun, pengalaman La Albiceleste beraksi di pentas akhir serta keupayaan mereka memanfaatkan setiap peluang menjadikan juara bertahan itu lawan yang sukar digugat.

Perlawanan akhir yang dinanti-nantikan ini juga boleh disaksikan secara langsung menerusi siaran RTM, bermula pukul 3.00 pagi nanti di saluran SUKAN+ dan OKEY juga di platform RTMKlik sekali gus memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan mengikuti detik penentuan juara dunia tanpa terlepas aksi.

Malah, bagi menghangatkan lagi suasana perlawanan akhir Piala Dunia di ibu kota Kuala Lumpur, RTM mengadakan tontonan umum di Dataran Merdeka bermula pukul 1.30 pagi.

Argentina memburu gelaran dunia keempat selepas menjulang trofi pada 1978, 1986 dan 2022, manakala Sepanyol mengintai kejuaraan kedua sejak muncul juara buat kali pertama pada edisi 2010 di Afrika Selatan.

Apa pun keputusannya, aksi akhir kali ini akan melabuhkan tirai edisi paling bersejarah dalam sejarah Piala Dunia apabila buat pertama kali kejohanan dianjurkan oleh tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selain menyaksikan penyertaan diperluaskan kepada 48 pasukan.

Selepas hampir sebulan aksi mendebarkan, hanya satu persoalan masih belum terjawab. Adakah Argentina terus mengukuhkan legasi sebagai kuasa dunia dengan gelaran keempat, atau Sepanyol kembali menawan dunia selepas 16 tahun menanti?

Sama-sama kita nantikan kerana pentas sudah tersedia. Cuma menunggu siapa yang bakal mengangkat trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia.

Oleh
Siti Aiyshah Baslie
Editor Berita RTM

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.