
STRASBOURG, 19 Julai – Majlis Eropah menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkukuh integriti sukan bola sepak susulan isu tekanan politik, penghinaan berunsur perkauman dan pasaran ramalan pertaruhan sepanjang Piala Dunia 2026.
- Gesaan dialog segera untuk membentuk kerangka integriti menjelang Piala Dunia 2030.
- Mengecam campur tangan politik, contohnya tekanan kepada FIFA yang boleh mengubah peraturan dan menimbulkan keraguan keputusan perlawanan.
- Mempertikai kerjasama FIFA dengan ADI Predictstreet, kerana pertaruhan detik permainan membuka ruang kepada penipuan.
- Majlis Eropah mewakili 46 negara anggota, menekankan konvensyen keselamatan penyokong, antidoping dan usaha memerangi pengaturan perlawanan.
Setiausaha Agung Majlis Eropah, Alain Berset berkata kejohanan kali ini menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu ditangani sebelum Piala Dunia 2030.
“Sambutan akan berakhir malam ini, namun persoalan yang timbul akan terus berlarutan.
“Dialog perlu dimulakan segera bagi membentuk kerangka integriti untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Berset turut membangkitkan isu campur tangan politik dengan merujuk gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino supaya mengkaji semula penggantungan penyerang AS, Folarin Balogun.
“Apabila peraturan boleh berubah akibat tekanan, setiap keputusan perlawanan akan menimbulkan keraguan,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan keputusan FIFA menjadikan ADI Predictstreet sebagai rakan kongsi rasmi pasaran ramalan buat kali pertama.
Menurut beliau, pertaruhan terhadap detik tertentu dalam permainan yang boleh dicetuskan seorang pemain tanpa mengubah keputusan perlawanan membuka ruang kepada penipuan.
Majlis Eropah yang mempunyai 46 negara anggota sebelum ini menggubal konvensyen berkaitan keselamatan penyokong, antidoping dan usaha memerangi gejala mengatur perlawanan.