KUALA PERLIS, 21 Januari- Lebih 300 penduduk menyertai Program Santai Riadah Untuk Kangar di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis.
Program Siri 1 itu dilaksanakan hasil inisiatif Biro Sukan UMNO Bahagian Kangar sebelum diperluas ke empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di Parlimen Kangar dengan membudayakan gaya hidup sihat dengan sukan bersama-sama komuniti.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, program itu sentiasa memberikan keutamaan kepimpinan masyarakat bagi memastikan matlamat bagi mewujudkan generasi sihat dapat direalisasikan ke tahap maksima.
Selain itu, dengan pembudayaan sukan di peringkat komuniti juga mampu mewujudkan semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan selain mengukuhkan hubungan silaturahim.
"Penganjuran aktiviti sukan dan riadah juga mampu melahirkan generasi yang sentiasa aktif dan bersemangat tinggi. Sokongan padu akan terus diberikan terhadap sebarang penganjuran aktiviti seumpama ini," katanya ketika menyertai Program Santai Riadah Untuk Kangar bersama komuniti di Kampung Pulau Ketam, di sini.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan dalam program itu termasuk berjalan kaki sejauh dua kilometer sepanjang laluan Kampung Warna Warni, perlawanan futsal, sukaneka, acara unik iaitu pertandingan mengikat ketam nipah dan cabutan bertuah.