LABUAN, 9 Julai -Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) meneruskan siri ke-8 Seminar Usahawan Madani: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) di Wilayah Persekutuan Labuan.
Setakat ini, lebih 3,500 peserta menerima manfaat, termasuk penyertaan hampir 350 usahawan di pulau itu.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Mustaffa Kamil Ayub berkata, usahawan dibantu menguasai asas pembangunan produk dan servis kukuh, agar kekal kompetitif dalam pasaran.
"Banyak usahawan kadangkala mereka terus menceburi bidang tanpa membuat kajian lebih awal, sebab ada enam langkah utama untuk melahirkan sesuatu produk ataupun servis.
"Kadang-kadang dia terus langkah keempat, kelima dan keenam tanpa melalui langkah pertama. Apabila mereka melalui program seumpama ini akan meminimumkan kegagalan mereka," katanya.
Dalam tempoh 10 tahun, INSKEN telah membantu 135,000 usahawan. Tahun ini INSKEN menyasarkan untuk membantu 20,000 usahawan di seluruh negara.
"Bawah Malaysia MADANI, serta usahawan MADANI yang kita bangunkan, kita mahu para usahawan mempunyai daya tahan, daya juang, daya saing, daya maju yang berterusan. Ini yang sedang kita gerakkan insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas siri ke-8 Seminar Usahawan Madani: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS) di Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan di sini.
Seminar dijayakan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) Labuan, MAIWP Labuan, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Tahun ini, INSKEN menyasarkan pelaksanaan seminar di 15 lokasi strategik di seluruh negara, sekali gus memperluas akses bimbingan dan pendedahan kepada lebih ramai usahawan yang berpotensi untuk berkembang.