
PUCHONG, 30 Oktober –Seramai 101,901 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penyelamat serta lebih 40,000 aset berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada penghujung bulan ini hingga Mac tahun depan.
- Kesiapsiagaan agensi diselaraskan untuk operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan pengurusan bencana semasa Monsun Timur Laut.
- Pelbagai aset sokongan disedia termasuk pacuan empat roda, ambulans, bot, pesawat, dron, jaket keselamatan, jentera berat, pam bergerak dan generator.
- 3,045 titik panas banjir dikenal pasti; Kelantan, Pahang, Terengganu dan Sabah merekodkan jumlah tertinggi.
- 8,321 pusat pemindahan sementara sediakan kapasiti hampir 1.9 juta mangsa; bekalan makanan diedarkan mengikut keperluan negeri.
Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Penyelarasan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mejar Wazirudin Mahfot@Mahbott berkata, jumlah itu merangkumi 47,100 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (21,477 anggota), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (15,145 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (12,927 anggota) serta Angkatan Tentera Malaysia (5,252 anggota).
“Kesiapsiagaan melibatkan penyelarasan antara agensi bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan cekap jika berlaku banjir atau bencana lain,” katanya pada Sesi Libat Urus NADMA bersama dengan Media Mengenai Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi MTL 2026/2027 di sini.
Selain itu, beliau berkata antara aset terlibat ialah 2,024 kenderaan pacuan empat roda, kenderaan pelbagai jenis (1,177), ambulans (174), bot (2,425), pesawat udara (28), dron (27) dan 35,301 jaket keselamatan.
“Agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyediakan aset sokongan termasuk 17 jentera berat, pam bergerak (575) dan set generator (30),”jelasnya.
Sementara itu, sebanyak 3,045 titik panas banjir (hotspot) dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 609 lokasi, diikuti Pahang (572), Terengganu (460) dan Sabah (348).
Data Jabatan Mineral dan Geosains pula menunjukkan sebanyak 31 hotspot tanah runtuh dikesan antaranya Gunung Jerai, Kedah; Tanjung Bungah, Pulau Pinang; Kundasang, Sabah dan Cameron Highlands, Pahang.
Tambah beliau, kerajaan menyediakan sebanyak 8,321 pusat pemindahan sementara di seluruh negara dengan kapasiti hingga kira-kira 1.9 juta mangsa bencana manakala dua pusat pemindahan kekal bencana di Johor dan Pahang boleh menempatkan 1,600 penduduk terjejas.
Mengulas mengenai bekalan makanan, beliau berkata sebanyak 60,000 kit makanan dan 170,000 pek makanan retort diperuntukkan dengan 29,900 kit makanan serta 94,510 pek makanan retort telah diagihkan ke semua negeri.
“Baki 30,100 unit kit makanan dan 75,490 unit makanan retort akan diagihkan bergantung kepada keperluan negeri,” jelasnya.