Kerajaan teliti buka dokumen sejarah terperingkat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Kerajaan sedang meneliti cadangan penyahklasifikasian dokumen sejarah yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi bagi memudahkan akses kepada bahan sejarah negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah Menteri bersetuju perlu dasar umum bagi penyahklasifikasian dokumen sejarah
  • Perdana Menteri arah pelaksanaan segera tetapi penelitian terperinci diperlukan sebelum keputusan dimuktamadkan
  • Rujukan dengan Jabatan Peguam Negara, PDRM dan KDN untuk nilai implikasi perundangan dan tahap sensitiviti
  • Matlamat memudahkan akses penyelidik dan orang ramai tanpa menjejaskan aspek keselamatan; tiada tarikh pelaksanaan ditetapkan

Jurucakap Kerajaan Madani , Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan golongan sejarawan berhubung keperluan menetapkan dasar umum bagi penyahklasifikasian dokumen berkenaan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya perkara itu dilaksanakan segera, namun penelitian terperinci perlu dibuat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Ya, arahan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ialah ia perlu dilaksanakan segera, tapi dengan teliti. Kita akan rujuk dengan pihak Jabatan Peguam Negara tentang beberapa aspek, kita akan rujuk dengan pihak PDRM, pihak KDN.

“Tapi perkara-perkara yang mungkin tidak terlalu sensitif tapi mungkin satu ketika dulu terpakai Akta Rahsia Rasmi, mungkin itu yang mungkin lebih mudah untuk dinyahklasifikasikan,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, hari ini.

Penelitian itu akan melibatkan Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya bagi menilai implikasi perundangan serta tahap sensitiviti dokumen sebelum dibuka kepada umum.

Langkah itu dijangka memudahkan penyelidik dan orang ramai mendapatkan akses kepada bahan sejarah negara, tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

Bagaimanapun, kerajaan belum menetapkan tarikh khusus bagi pelaksanaan penyahklasifikasian dokumen berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.