
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan JERA Co. Inc, berjaya dimuktamadkan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun.
- Lawatan rasmi dianggap amat berjaya dan mengukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan Jepun dalam pelbagai sektor utama.
- Perbincangan mendalam merangkumi AI, semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal serta rantaian bekalan berdaya tahan.
- Perdana Menteri mahu mempererat kerjasama akademik IPTA dengan universiti Jepun termasuk teknologi kuantum dan penyulitan kuantum.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, lawatan rasmi berakhir semalam itu turut disifatkan sebagai amat berjaya, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara Kuala Lumpur dan Tokyo dalam pelbagai sektor utama.
“Lawatan rasmi ini cukup berjaya kerana bukan hanya mengeratkan hubungan kedua-dua negara. Perbincangan yang mendalam merangkumi sektor kecerdasan buatan, sektor semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal dan rantaian bekalan berdaya tahan turut berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri mahu hubungan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan universiti di Jepun dipererat, khususnya dalam meneroka bidang penyelidikan termaju seperti teknologi kuantum.
Penekanan itu disuarakannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Ini (teknologi kuantum) satu bidang yang sangat penting, termasuk dalam usaha untuk mengguna pakai kriptologi kuantum dan penyulitan kuantum,” katanya.
Kolaborasi akademik tersebut amat penting bagi membolehkan institusi tempatan menguasai teknologi masa hadapan yang berupaya memacu agenda digitalisasi negara.
Sehubungan itu, Datuk Fahmi berkata, Perdana Menteri juga mahu usaha jalinan strategik sedia ada termasuk kerjasama antara Keio University di Jepun dan Universiti Malaya (UM) dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut meminta lebih banyak universiti tempatan mengambil inisiatif proaktif dengan menjalin kerjasama erat dengan universiti terkemuka di Jepun dalam pelbagai bidang strategik.
Beliau berkata langkah itu selari dengan hasil perbincangan Perdana Menteri bersama pelabur di negara itu yang merangkumi sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal serta rantaian bekalan yang berdaya tahan.