
KUALA SELANGOR, 12 Jun – Selangor bersedia mendedahkan data pelepasan dan operasi Loji Sisa ke Tenaga (WTE) kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan serta meningkatkan keyakinan masyarakat dengan teknologi berkenaan.
- Operasi WTE1 di ISWMC Jeram dipantau mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pelepasan berada pada tahap selamat.
- WTE1 mampu memproses sehingga 1,500 tan sisa sehari dan menjana sehingga 26 megawatt elektrik, mencukupi untuk kira-kira 26,000 isi rumah.
- Apabila WTE2 beroperasi sepenuhnya, kapasiti pengurusan sisa di Jeram dijangka meningkat kepada kira-kira 3,500 tan sehari.
- Baki sekitar 2,000 tan akan diuruskan menerusi WTE3 di Tanjung Dua Belas sebagai sebahagian pelan jangka panjang pengurusan sisa mampan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan negeri sedia berkongsi maklumat berkaitan prestasi tiga loji berkenaan, termasuk pematuhan kepada piawaian alam sekitar yang ditetapkan.
“Operasi loji WTE1 di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) di Jeram sentiasa dipantau mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pelepasan yang dihasilkan berada pada tahap selamat.
“Loji berkenaan mampu memproses sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari serta menjana sehingga 26 megawatt tenaga elektrik, mencukupi untuk membekalkan keperluan elektrik kepada kira-kira 26,000 isi rumah.
“Dan apabila WTE 2 siap serta beroperasi sepenuhnya, kapasiti pengurusan sisa di Jeram bakal meningkat kepada kira-kira 3,500 tan sehari. Baki sekitar 2,000 tan lagi, akan diuruskan menerusi loji WTE 3 di Tanjung Dua Belas,”katanya pada sidang media selepas merasmikan operasi WTE1 di sini.
Kemudahan dibangunkan Worldwide Holdings Berhad, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sebagai sebahagian pelan jangka panjang mempertingkat pengurusan sisa pepejal secara mampan.