
KUANTAN, 12 Jun – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tidak pernah berkompromi dengan kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah di sekitar daerah ini.
- Semakan mendapati banyak perniagaan didakwa dijalankan warga asing sebenarnya beroperasi atas lesen yang dimiliki pasangan warganegara Malaysia.
- MBK akan terus memantau aktiviti perniagaan dan penjajaan bagi memastikan pematuhan syarat serta peraturan perlesenan ditetapkan.
- Penguatkuasaan undang-undang kecil berkaitan kebersihan dan kesihatan awam akan dipertingkatkan bersama PDRM dan Jabatan Imigresen.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli berkata, hasil semakan mendapati kebanyakan perniagaan yang didakwa dijalankan oleh warga asing termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya warga Rohingya, sebenarnya beroperasi menggunakan lesen yang dimiliki pasangan mereka yang merupakan warganegara Malaysia.
“Bagi di Kuantan ni, memang kita tahu antara isu utama ialah kebanjiran masyarakat Rohingya dan dari segi sudut premis perniagaan, sebenarnya lesen yang kita keluarkan memang untuk warganegara Malaysia sahaja.
Dari segi keabsahan lesen perniagaan tu memang tidak boleh dipersoalkan kerana ia memang sah dimiliki oleh warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Kuantan International Kite Festival (KITE 4.0) Cherating Wind and Ocean Wave (WOW 26) di Kompleks Bandaraya MBK, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular beberapa premis perniagaan di sekitar Medan Warisan, di sini yang dijalankan individu etnik Rohingya.
Katanya, MBK akan terus memantau aktiviti perniagaan dan penjajaan bagi memastikan semua pengusaha mematuhi syarat serta peraturan perlesenan yang ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya turut akan mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang kecil berkaitan kebersihan dan kesihatan awam menerusi kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu terdapat perbincangan dilakukan melibatkan Datuk-Datuk Bandar di seluruh negara dalam usaha menangani kebanjiran warga asing yang dilihat semakin menguasai perniagaan di negara ini.