Lawatan PM ke Jepun perkukuh kerjasama strategik

Datuk Shahril Effendi Abd Ghany / Foto RTM

TOKYO, 8 Jun – Empat pemeteraian Memorandum Kerjasama dan dua Surat Hasrat dalam bidang pertahanan dan keselamatan serantau, dijangka disaksikan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tiga hari ke Jepun, termasuk sektor kesihatan, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, dan kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia- Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa bersama kerajaan Jepun.
  • Perdana Menteri akan berucap di Persidangan Antarabangsa Nikkei dan di University of Tokyo mengenai kepentingan nilai kemanusiaan dalam era kecerdasan buatan.
  • Sesi meja bulat dan pertemuan dengan syarikat Jepun untuk menarik pelaburan berkualiti, tingkatkan perdagangan serta kerjasama teknologi tinggi dan kelestarian.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany, lawatan rasmi Perdana Menteri itu bagi memenuhi undangan kerajaan Jepun, serta memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Jepun dalam pelbagai bidang.

“Program rasmi Perdana Menteri di Jepun akan dimulai dengan Majlis Sambutan Rasmi (‘Official Welcoming Ceremony’) di Pejabat Perdana Menteri Jepun dan disusuli dengan Mesyuarat Dua Hala antara delegasi Malaysia, yang diketuai Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Jepun, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Menurut Datuk Shahril Effendi, kedua-dua pemimpin juga dijadualkan untuk mengadakan sidang media bersama dan Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman mengenai pemeteraian Memorandum Persefahaman dan Surat Hasrat di antara Malaysia dan Jepun.

Datuk Seri Anwar juga dijadual menghadiri dan menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 yang bertemakan “Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia” pada 10 Jun.

“Persidangan ini merupakan platform dialog peringkat tertinggi yang akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan, tokoh-tokoh korporat dan birokrat, serta pakar-pakar bidang dari seluruh dunia untuk membincangkan dinamik geopolitik serta hala tuju pembangunan ekonomi di rantau Asia.

“Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan ke University of Tokyo bagi menyampaikan ucapan khas bertajuk ‘Humanity in a Human-Machine Civilisation’, yang akan menyentuh mengenai kepentingan dalam mengimbangi nilai-nilai kemanusiaan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama era di mana kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan pesat,” katanya lagi.

Duta Besar Malaysia ke Jepun memaklumkan Perdana Menteri akan turut menghadiri Sesi Meja Bulat bersama tokoh-tokoh perniagaan dan ketua-ketua industri Jepun yang terpilih, selain mengadakan mesyuarat dengan syarikat-syarikat Jepun.

“Sesi-sesi ini mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan rakan dagang dalam usaha untuk menarik pelaburan berkualiti dari Jepun serta meningkatkan hubungan perdagangan dan kerjasama dalam bidang ekonomi.

“Datuk Seri Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan enam syarikat manakala Sesi Meja Bulat pula akan melibatkan 29 tokoh atau ketua industri di Jepun,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Sirkular di Universiti Tokyo, Profesor Amy Poh Ai Ling berkata lawatan Perdana Menteri ke Jepun dan penyertaan di Persidangan Antarabangsa Nikkei, menunjukkan Malaysia semakin dipandang serius sebagai rakan strategik di rantau ASEAN.

“Ia juga meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan dan potensi Malaysia, terutama dalam sektor teknologi tinggi, AI, teknologi hijau, semikonduktor, ‘advanced manufacturing’ atau pembuatan lanjutan dan kelestarian.

“Pada masa sama, ia membuka lebih banyak peluang kerjasama antara universiti, industri dan institusi penyelidikan Malaysia-Jepun,” katanya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh pemberita RTM di sini.

Untuk rekod, lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Jepun sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.

Selain daripada lawatan rasmi ini, Perdana Menteri telah mengadakan dua lawatan kerja ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan (‘Commemorative Summit’) bersempena 50th Year of ASEAN-Japan Friendship and Cooperation dari 15 hingga 20 Disember 2023, dan Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-29 dari 22 hingga 24 Mei 2024.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.