Lawatan ke Turkiye berjaya erat hubungan dua hala, kerjasama strategik – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan media sebelum mengakhiri lawatan rasmi ke Turkiye. Foto BERNAMA

ISTANBUL, 9 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi beliau ke Turkiye sebagai berjaya dalam mengeratkan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi Anwar berjaya memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.
  • HLSCC pertama diadakan di Ankara sebagai platform kerjasama strategik peringkat tinggi.
  • Keputusan mesyuarat fokus kepada pelaburan, perdagangan dan kerjasama strategik pelbagai bidang.
  • Peluasan kerjasama merentasi pendidikan, pendidikan tinggi dan penyelidikan akan diteruskan.
  • Kedua-dua negara meneroka kerjasama dalam penerbangan, kecerdasan buatan, tenaga dan sumber nadir bumi.

Beliau berkata, lawatan selama tiga hari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan itu turut membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Antara pencapaian utama lawatan tersebut ialah penganjuran Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turkiye (HLSCC) yang pertama, yang diadakan di Ankara.

“Ia sesuatu permulaan yang menarik kerana tidak banyak negara yang kita adakan hubungan dua hala pada tahap ini. Majlis di peringkat tinggi ini dipengerusikan bersama oleh Presiden Turkiye dan saya sendiri, dan tentunya setiap keputusan yang dipersetujui akan dilaksanakan oleh kementerian berkaitan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, keputusan strategik yang dicapai melalui mesyuarat berkenaan bertujuan mengangkat hubungan Malaysia-Turkiye dengan memberi tumpuan kepada pelaburan, perdagangan serta kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas mengakhiri lawatan rasmi ke republik itu.

Beliau menambah hubungan kedua-dua negara akan terus diperkukuh melalui peluasan kerjasama strategik merentasi bidang pendidikan, pendidikan tinggi dan penyelidikan.

Selain itu, Datuk Seri Anwar berkata kedua-dua pihak turut meneroka potensi kerjasama dalam teknologi baharu termasuk penerbangan, kecerdasan buatan, tenaga serta pembangunan sumber nadir bumi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.