
LONDON, 18 Ogos – Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) masih boleh dikawal, meskipun penularannya kini mengatasi usaha pembendungan dan menjadi wabak kedua paling banyak meragut nyawa dalam rekod.
- WHO: sasaran menghentikan penularan dalam tiga bulan boleh dicapai jika sumber yang diperlukan disediakan.
- Kawasan sukar dikawal seperti Nizi, Lita dan Mongbwalu menunjukkan kestabilan, membolehkan tindak balas kesihatan lebih pantas.
- Pembesaran geografi wabak memerlukan pembiayaan tambahan bagi operasi termasuk pengangkutan, kenderaan dan ambulans.
- WHO menambah lebih 400 katil, 100 ahli epidemiologi dan 500 petugas kesihatan komuniti serta mempertingkat pemantauan kes.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memaklumkan pada awal Ogos penularan Ebola masih boleh dihentikan dalam tempoh tiga bulan. Namun, keadaan dilaporkan semakin buruk dengan wabak itu kini merebak ke wilayah ke-6.
Pengurus insiden WHO, Thierno Balde berkata, sasaran untuk mengawal wabak dalam tempoh tiga bulan masih boleh dicapai sekiranya sumber yang diperlukan dapat disediakan.
“Keadaan di beberapa kawasan yang sebelum ini sukar dikawal, termasuk Nizi, Lita dan Mongbwalu, kini menunjukkan tanda-tanda semakin stabil.
“Perkembangan itu membolehkan pasukan kesihatan bertindak lebih pantas terhadap penularan waba,” katanya.
Peluasan wabak dari segi skala dan geografi memerlukan lebih banyak pembiayaan bagi menampung keperluan operasi termasuk pengangkutan, kenderaan dan ambulans.
Wabak berkenaan merupakan yang ke-17 melanda Congo dan paling buruk setakat ini, dengan sekurang-kurangnya 2,325 kematian direkodkan.
Bagaimanapun, sumber yang tersedia masih belum mencukupi berbanding keperluan, dengan WHO setakat ini hanya berjaya mengumpulkan kira-kira 60 peratus daripada AS$115 juta yang diperlukan bagi operasi tindak balas Ebola.
Dalam tempoh dua minggu lalu, WHO berjaya menambah lebih 400 katil berfungsi di beberapa lokasi bagi menempatkan pesakit serta individu yang disyaki dijangkiti Ebola.
“Kapasiti pemantauan turut dipertingkat bagi membolehkan kes dikesan secepat mungkin sebelum pesakit dipindahkan ke pusat kesihatan bagi mengurangkan kadar kematian yang tinggi,” kata Balde
WHO turut menambah 100 pakar epidemiologi untuk ditempatkan di lapangan dan kawasan kesihatan, dengan sokongan lebih 500 petugas kesihatan komuniti.
Petugas berkenaan akan menjalankan pengesanan kontak, mengenal pasti kes baharu serta menggalakkan individu terdedah untuk menjalani pemantauan dan mendapatkan rawatan di pusat kesihatan.
Sementara itu, jurucakap WHO, Christian Lindmeier berkata, sumbangan yang diterima setakat ini berjumlah kira-kira AS$69.3 juta daripada AS$115 juta yang diperlukan bagi melaksanakan operasi menyelamatkan nyawa.
“Dana berkenaan merupakan komponen penting dalam usaha lebih menyeluruh yang diketuai kerajaan, komuniti dan rakan kerjasama termasuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC),” katanya.
WHO turut menggesa negara yang telah menjanjikan sumbangan supaya menyalurkan dana berkenaan dengan segera, selain menyediakan pembiayaan tambahan yang fleksibel bagi membantu menghentikan penularan, menyelamatkan nyawa serta melindungi keselamatan kesihatan serantau dan global.
Jawatankuasa Kecemasan WHO dijadual bermesyuarat pada Selasa bagi membincangkan perkembangan wabak berkenaan yang telah diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam global menerusi agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu pada 17 Mei.- REUTERS