
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Op Tiris 4.0 membongkar kegiatan tidak bertanggungjawab sindiket penyelewengan minyak masak peket yang membotolkan semula barangan bersubsidi terbabit sebagai minyak sembahyang.
- Tiga kes berkaitan dirungkaikan dengan rampasan sembilan tan minyak masak bernilai kira-kira RM165,000.
- Empat premis diperiksa, dua pemborong berlesen dan dua tidak berlesen hasil risikan dua bulan.
- Pemborong perolehi minyak subsidi RM2.45 sekilogram, jual semula RM7.50 sekilogram, keuntungan sekitar RM4 setiap liter.
- Satu premis tanpa lesen di Sentul memproses semula, kapasiti satu tan atau 200 botol sehari; lima individu ditahan.
Serbuan sekitar ibu negara itu turut membongkar tiga kes saling berkait membabitkan rampasan sembilan tan minyak masak bernilai kira-kira RM165,000.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad mengesahkan operasi melibatkan pemeriksaan masing-masing ke atas dua premis pemborong berlesen dan dua premis tidak berlesen itu hasil risikan serta profiling pihak berkuasa selama dua bulan.
“Berdasarkan modus operandi, pemborong terbabit mendapatkan bekalan minyak masak 1 kilogram (kg) bersubsidi daripada pembungkus sebelum mengagihkannya ke lokasi tertentu untuk digunting dan dipindahkan ke dalam botol bersaiz 1 kg hingga 15 kg.
“Minyak masak bersubsidi yang diperoleh pada harga RM2.45 sekg itu kemudian dijual semula sebagai minyak sembahyang pada harga RM7.50 sekg sekitar pasaran Lembah Klang dengan mengaut keuntungan sekitar RM4.00 bagi setiap liter,”katanya selepas operasi di salah sebuah lokasi serbuan.
Tambah Mohd Shahran, salah sebuah premis tanpa lesen yang disewa di Sentul dijadikan lokasi memproses dan membungkus semula minyak berkenaan secara manual dengan kapasiti pengeluaran mencecah satu tan atau 200 botol sehari.
“Premis dipercayai telah beroperasi selama enam bulan berdasarkan maklumat penduduk setempat.
“Dalam operasi itu, lima individu berusia antara 30 hingga 35 tahun melibatkan tiga warga India, seorang warga Sri Lanka dan seorang pemandu van tempatan.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perihal Dagangan 2011,”katanya.