Penduduk bukan warganegara di Sabah menurun 0.32 peratus tahun lepas

Jabatan Perangkaan Malaysia

KOTA KINABALU, 8 Januari- Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah mencatatkan penurunan 0.32 peratus kepada 1,040,200 orang pada tahun lepas, berbanding 1,043,600 orang pada tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah turun 0.32 peratus tahun lepas kepada 1,040,200 orang.
  • Jumlah tahun lepas masih belum mencapai rekod tertinggi 2018 sebanyak 1,158,000 orang.
  • Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu mencatat jumlah bukan warganegara tertinggi; Kinabatangan tertinggi mengikut peratusan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah memaklumkan data tersebut berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan pada 24 Dis tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, walaupun Sabah merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi berbanding negeri lain bagi tempoh 1991 hingga 2025, jumlah tahun lepas masih belum melepasi rekod tertinggi yang dicatatkan pada 2018 iaitu 1,158,000 orang.

“Sandakan mencatatkan bilangan penduduk bukan warganegara paling ramai pada 2025 iaitu 195,100 orang, diikuti Tawau (142,900 orang) dan Kota Kinabalu 125,400 orang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut DOSM, berdasarkan komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus). -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.