
JOGJAKARTA, 18 Ogos – Mahkamah Indonesia memulakan perbicaraan terhadap 11 petugas pusat jagaan kanak-kanak pada Selasa, yang didakwa terbabit dalam kes penderaan terhadap kanak-kanak bawah jagaan individu terbabit.
- Polis menyerbu sebuah pusat jagaan, menemui kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun dengan tangan dan kaki diikat, sebahagian diikat pada pintu.
- Pendakwa menuduh pengasuh mengabaikan dan mendera, menggunakan tali mengikat kaki sebagai hukuman serta gagal menyediakan makanan mencukupi.
- Sebanyak 144 kanak-kanak dikenal pasti mangsa; ramai masih menjalani terapi, mengalami gangguan emosi dan masalah tidur.
- Ibu bapa mahukan proses perundangan adil dan ganti rugi; aktivis panggil kes ini antara skandal penderaan kanak-kanak paling serius.
Kes berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai selepas polis menyerbu pusat jagaan kanak-kanak di bandar Jogjakarta pada akhir April lalu dan menemukan puluhan kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun dengan tangan serta kaki diikat.
Menurut prosiding yang disiarkan secara langsung, sebahagian daripada mereka turut diikat pada pintu. Pendakwa raya di Mahkamah Jogjakarta mendakwa petugas berkenaan atas kesalahan mengabaikan serta mendera kanak-kanak.
Menurut pendakwa raya, pengasuh terbabit didakwa tidak menyediakan makanan yang mencukupi kepada kanak-kanak selain mengikat kaki mereka menggunakan tali sebagai hukuman kerana berkelakuan nakal.
Mereka turut didakwa melakukan beberapa tindakan lain yang menyebabkan gangguan emosi dan masalah tidur dalam kalangan mangsa.
Seramai 144 kanak-kanak dikenal pasti sebagai mangsa dalam kes berkenaan, menurut pendakwa raya.
Salah seorang penjaga yang menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan Imelda Dwi Anjani berkata, masih ramai yang terkesan akibat kes ini.
“Anak saya sendiri masih menjalani terapi dan begitu juga ramai lagi yang masih mendapatkan rawatan kerana mereka masih menunjukkan tingkah laku yang menyimpang,” katanya.
Bapa kepada mangsa penderaan, Anto pula berharap proses perundangan ini dapat dijalankan secara adil, telus, profesional dan bertanggungjawab, selain mengutamakan kepentingan kanak-kanak tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
“Kami akan menuntut pengiktirafan terhadap hak mangsa serta bayaran ganti rugi. Permintaan yang sama pernah dikemukakan sebelum ini, namun kami berharap hak ini tidak hanya kekal di atas kertas, sebaliknya benar-benar direalisasikan untuk mangsa dan keluarga mereka,” katanya.
Sementara itu aktivis hak kanak-kanak menyifatkan kes itu sebagai antara skandal penderaan kanak-kanak paling serius dalam sejarah Indonesia sejak beberapa dekad lalu.
Kes berkenaan mendapat liputan utama media serta kecaman di seluruh negara.
Indonesia mempunyai ribuan pusat jagaan kanak-kanak, meskipun konsep itu masih agak baharu di negara berkenaan kerana secara tradisinya, kanak-kanak dijaga anggota keluarga masing-masing.- REUTERS