Istilah tanah adat tidak sewenangnya digunakan, perlu ambil kira undang-undang – Sultan Pahang

Sultan Pahang bertitah proses pengukuran, persempadan dan pewartaan kawasan Orang Asli di Pahang dipercepat bagi mengelakkan pertindihan serta tuntutan tanpa batas / Foto BERNAMA

ROMPIN, 18 Ogos – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan istilah tanah adat tidak digunakan sewenang-wenangnya hingga memberi gambaran setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan masyarakat Orang Asli menjadi hak milik mereka secara automatik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua tuntutan tanah mesti mengambil kira undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
  • Hak serta kebajikan Orang Asli wajib dihormati, dipelihara dan dilindungi menurut Perlembagaan dan undang-undang.
  • Akta Orang Asli 1954 memberi kuasa negeri untuk pemberian hak menduduki dalam kawasan atau Rizab Orang Asli.
  • Proses pengukuran, persempadan dan pewartaan perlu dipercepat untuk elak pertindihan, tuntutan tanpa batas dan memastikan pemeliharaan kawasan.

Titah baginda, setiap tuntutan berkaitan tanah perlu mengambil kira undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.

“Kerajaan Negeri tidak pernah berniat menafikan hak masyarakat Orang Asli, sebaliknya hak serta kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara dan dilindungi berdasarkan Perlembagaan serta undang-undang.

“Hak tersebut perlu berjalan seiring dengan undang-undang termasuk peruntukan di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa negeri berkaitan pemberian hak menduduki tanah tertentu dalam kawasan Orang Asli atau Rizab Orang Asli,”titah Baginda.

Sehubungan itu, baginda bertitah agar proses pengukuran, persempadan dan pewartaan kawasan Orang Asli di Pahang dipercepat bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan benar-benar terpelihara selain mengelakkan pertindihan serta tuntutan tanpa batas.

Baginda juga bertitah, tidak mahu percampuran mana-mana pihak sehingga mengelirukan masyarakat Orang Asli.

“Tindakan itu boleh membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan sehingga mengeruhkan keadaan dan menyukarkan penyelesaian di peringkat masyarakat serta pentadbiran.

“Daripada keseluruhan 264 kampung Orang Asli (KOA), sebanyak 30 kawasan telah selesai diwartakan, manakala 16 kawasan telah diberikan milik tanah, menjadikan 46 KOA mempunyai penyelesaian status tanah.

“Daripada baki itu, sebanyak 75 permohonan sedang diproses Pejabat Daerah dan Tanah, manakala 31 permohonan telah teratur untuk dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK),”titah baginda lagi.

Sebanyak 44 KOA pula mempunyai pertindihan status tanah, antaranya melibatkan Hutan Simpanan Kekal, Tanah Rizab Melayu dan tanah milik, yang memerlukan penyelesaian berdasarkan undang-undang serta status tanah masing-masing.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap 143 KOA yang masih belum mengemukakan permohonan dan meminta perkara itu diberikan perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan, JAKOA serta agensi berkaitan.

Baginda turut menggesa masyarakat Orang Asli menggunakan saluran permohonan yang sah melalui JAKOA dan agensi kerajaan berkaitan serta tidak terburu-buru memburukkan atau memfitnah mana-mana pihak.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Kenduri Rakyat Sempena Sambutan Hari Orang Asli Tahun 2026 di Padang Awam, Kampung Orang Asli Sungai Mok, Rompin.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.