
PECHENIHY, 18 Ogos – Serangan peluru berpandu Rusia di sebuah kampung di wilayah Kharkiv, timur laut Ukraine pada Selasa mengorbankan 10 individu, menurut pihak berkuasa Ukraine.
- Presiden Zelenskiy umum akan bertindak balas terhadap serangan kejam itu.
- Gabenor lapor 17 orang cedera; kerosakan melibatkan 10 bangunan persendirian, kafe, pejabat pos, kedai dan sekurang-kurangnya tujuh kenderaan.
- Pejabat Pendakwa Raya berkata Rusia dipercayai menggunakan dua peluru berpandu kruis kecil "Banderol" dalam serangan.
- Moldova kecam pelanggaran ruang udara selepas objek udara meletup dekat Talmaza; tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Presiden Volodymyr Zelenskiy menerusi X turut memaklumkan berkenaan perkara itu dan menyatakan akan bertindak balas terhadap serangan tersebut.
“”Pada pagi ini, Rusia melancarkan serangan kejam terhadap persimpangan yang sibuk di Pechenihy, wilayah Kharkiv — lokasi yang menempatkan pejabat pos dan beberapa kedai serta dikelilingi bangunan kediaman.
“Kami pasti akan bertindak balas terhadap serangan Rusia ini,” menurut hantaran X Volodymyr Zelenskiy.
Gabenor wilayah berkenaan, Oleh Syniehubov berkata, 17 lagi orang cedera dalam serangan itu, namun tiada kenyataan segera daripada Rusia berhubung serangan berkenaan.
Menurut Syniehubov, serangan terhadap kampung itu merosakkan 10 bangunan persendirian, sebuah kafe, pejabat pos, sebuah kedai serta sekurang-kurangnya tujuh kenderaan.
Pejabat Pendakwa Raya Ukraine pula memaklumkan, berdasarkan maklumat awal, Rusia menggunakan dua peluru berpandu kruis kecil Banderol dalam serangan berkenaan.
Seorang pegawai tempatan memberitahu penyiar awam Suspilne bahawa serangan mengenai bahagian tengah kampung berkenaan yang menempatkan kafe, pejabat pos dan beberapa kedai.
Sementara itu Kementerian Luar Moldova mengecam pelanggaran ruang udara negara berkenaan susulan dron melintasi ruang udara pada Isnin yang kemudiannya meletup.
Moldova bersempadan dengan Ukraine dan menyokong negara itu dalam perang menentang Rusia. Negara berkenaan sebelum ini berdepan beberapa insiden dron melintasi ruang udaranya serta penemuan serpihan berhampiran sempadan.
Menurut pihak berkuasa Moldova, objek udara berkenaan memasuki ruang udara negara itu pada pukul 5.37 petang waktu tempatan dan meletup tidak lama kemudian berhampiran penempatan Talmaza, berdekatan sempadan Ukraine.
Letupan itu menyebabkan rumput terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak berkuasa Moldova tidak mengenal pasti asal usul objek berkenaan.
Polis turut memuat naik rakaman video di media sosial yang menunjukkan keadaan selepas letupan serta serpihan objek tidak dikenal pasti itu. NASA FIRMS turut mengesan aktiviti haba di kawasan berkenaan pada 17 Ogos.
“Insiden ini merupakan pelanggaran serius terhadap kedaulatan Republik Moldova dan menimbulkan risiko langsung terhadap keselamatan rakyat kami. Insiden seperti ini tidak boleh diterima,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.- REUTERS