BEM perkasa TVET bina rantaian bakat teknikal bertaraf antarabangsa

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) giat memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pengalihan program teknologi kejuruteraan ke dalam laluan berkenaan sebagai langkah strategik membina rantaian bakat teknikal negara yang kompeten dan bertaraf antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akreditasi teknologi kejuruteraan penting supaya TVET dihormati dan bukan laluan kelas kedua.
  • TVET perlu gabungkan pembelajaran akademik, pendedahan industri dan piawaian kompetensi antarabangsa untuk sektor baharu.
  • Peranan BEM, CIDB dan ABM penting menyediakan fasiliti latihan dan program TVET yang lebih berstruktur.
  • Memperkasa kemahiran tempatan kurangkan kebergantungan pekerja asing dan tingkatkan daya saing negara dalam era digital.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha BEM menerusi Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan amat kritikal bagi memastikan TVET tidak lagi dipandang sebagai laluan kelas kedua, sebaliknya menjadi antara teras utama dalam melahirkan ahli teknologi kejuruteraan dan juruteknik tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri sebenar.

“Kita beri peluang kepada anak-anak muda kita untuk diperkasakan supaya mereka lebih mahir dan boleh mengisi ruang dalam industri pembinaan di negara kita.

“Buat masa sekarang, kita ada kekurangan tenaga kerja mahir dan banyak bergantung kepada pekerja asing. Jadi, tujuan akhirnya nanti kita mahu anak muda Malaysia ini menjadi tenaga kerja yang mahir dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan (NEC) 2026 bertemakan ‘Engineering with Integrity in the Digital Age’ di Hotel Royale Chulan’.

Konvensyen berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari lapan negara, termasuk Thailand dan Arab Saudi, serta turut dihadiri Presiden BEM, Datuk Ibrahim Esa.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Alexander berkata, peranan BEM bersama agensi lain di bawah Kementerian Kerja Raya, antaranya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM), amat penting dalam menyediakan fasiliti latihan serta program TVET yang lebih berstruktur.

Menurut beliau, pendekatan itu menggabungkan pembelajaran akademik, pendedahan kepada industri dan piawaian kompetensi antarabangsa yang amat diperlukan dalam bidang baharu seperti kejuruteraan digital, pembuatan termaju serta sektor tenaga.

Katanya, langkah memperkasakan peranan BEM dalam ekosistem TVET bukan sahaja dapat memperkukuh daya saing negara dalam mendepani era digital, malah membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing, khususnya bagi sektor yang memerlukan kemahiran teknikal tinggi.

“Cita-cita perindustrian Malaysia pada akhirnya bergantung kepada keupayaan negara dalam membangunkan, mengekalkan dan menghargai bakat kejuruteraan tempatan sendiri,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.