Erdogan sampaikan salam dan doa untuk kesihatan Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad.

ISTANBUL 9 Januari – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Erdogan bertanyakan perkembangan kesihatan Tun Dr Mahathir ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
  • Erdogan menyampaikan salam dan doa agar Dr Mahathir diberi kesihatan baik, kesejahteraan dan keselamatan.
  • Anwar menjelaskan maklumat kesihatan berdasarkan penerangan doktor kepada Erdogan.
  • Erdogan mahu menghubungi Dr Mahathir secara peribadi untuk menanyakan khabar jika keadaannya bertambah baik.

Datuk Seri Anwar berkata, Erdogan bertanyakan perkembangan kesihatan Tun Dr Mahathir yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa lalu selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.

Menurut beliau, Erdogan turut menyampaikan salam serta doa agar Tun Dr Mahathir dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan keselamatan.

“Presiden Tayyip Erdogan turut menanyakan tentang kesihatan Tun Dr Mahathir. Saya jelaskan sedikit berdasarkan maklumat yang telah disampaikan oleh doktor, dan beliau bersama-sama mengucapkan salam serta mendoakan agar Tun Dr Mahathir dikurniakan kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Beliau menambah, Erdogan turut menyatakan hasrat untuk menghubungi Tun Dr Mahathir bagi bertanya khabar dan menyampaikan doa secara peribadi sekiranya keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu bertambah baik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.